GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Seorang pemandu di sebuah ladang sawit yang pernah membawa pesakit bergejala ke klinik mencetuskan kluster baharu Covid-19 membabitkan jangkitan dalam kalangan pekerja ladang dan klinik di Kalabakan, semalam.

Kluster Agathis itu adalah antara empat kluster baharu yang dilaporkan di Sabah, masing-masing dua berkaitan tempat kerja, manakala dua kluster lagi berkaitan pusat rawatan dan penjara.

Jurucakap perkembangan Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, kes indeks Kluster Agathis yang berumur 46 tahun itu dikesan positif Covid-19 melalui saringan bergejala di klinik swasta di ladang tempatnya bekerja pada 14 Julai lalu.

"Siasatan awal mendapati sebelum ini kes indeks pernah membawa pekerja bergejala untuk mendapatkan rawatan di klinik ladang berkenaan. Berikutan maklumat itu, saringan kontak rapat dan kakitangan klinik dijalankan yang kemudian mendapati rakan sekerja dan jururawat klinik terbabit turut positif Covid-19 pada 16 Julai.

"Setakat ini, jumlah terkini kes positif Covid-19 bagi kluster ini ialah sebanyak 33 kes termasuk 31 kes baharu. Siasatan lanjut pengesanan kontak rapat dan mengenal pasti punca jangkitan sedang giat dijalankan," katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Sementara itu, di Sandakan, seorang lelaki berumur 27 tahun yang menjalani rawatan dialisis di sebuah pusat dialisis kerajaan mencetuskan Kluster Batu Tiga Utara selepas dikesan positif Covid-19 melalui saringan bergejala di sebuah klinik swasta pada 13 Julai lalu.

Masidi berkata, saringan kontak serumah yang dijalankan selepas itu mendapati empat ahli keluarga kes indeks juga positif Covid-19.

"Pada 17 Julai, unit hemodialisis hospital terbabit juga menjalankan saringan di wad dan mengesan 14 lagi kes positif Covid-19 dalam kalangan pesakit di pusat rawatan terbabit. Secara keseluruhan, kluster ini merekodkan jumlah kumulatif 19 kes termasuk 17 kes pada hari ini (semalam)," katanya.

Di Tawau, Kluster Tembok Dua yang dilaporkan di Penjara Tawau tercetus selepas 35 banduan dikesan positif menerusi saringan prapengeluaran dari penjara pada 16 Julai lalu.

"Setakat hari ini (semalam), sebanyak 159 kes berjaya dikesan termasuk 124 kes baharu. Siasatan lanjut pengesanan kontak rapat dan mengenal pasti punca jangkitan sedang giat dijalankan," katanya.

Satu lagi kluster semalam iaitu Kluster Sri Sandau di Kinabatangan tercetus selepas seorang pekerja wanita di sebuah ladang kelapa sawit dikesan positif Covid-19 melalui saringan di sebuah klinik swasta di Nangoh, Beluran pada 12 Julai lalu.

Kes indeks bukan warga negara berumur 35 tahun itu yang menjalani saringan untuk kemasukan ke ladang kemudiannya dirujuk ke Hospital Duchess Of Kent, Sandakan untuk rawatan lanjut.

Masidi berkata, saringan kontak seterusnya mendapati 10 orang rakan sekerja kes indeks didapati positif Covid-19, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 11 kes sehingga semalam.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Julai 2021 @ 8:09 AM