GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Rafiqah Dahali


Kota Kinabalu: Seorang kakitangan pelantar minyak yang dijangkiti Covid-19 mencetuskan kluster baharu membabitkan tempat kerja di Sabah, semalam.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, kluster dikenali sebagai Kluster Samedra di Kota Kinabalu itu membabitkan penularan jangkitan dalam kalangan kakitangan pelantar minyak di Platform FPSO Kikeh.

"Kes indeks adalah seorang penyelia lelaki berusia 35 tahun yang mula bergejala sejak 2 Jun lepas sebelum disahkan positif Covid-19 hasil saringan pekerjaan pada tarikh sama di klinik swasta.

"Turut dikesan positif ialah 24 kontak dalam kalangan rakan sekerja kes indeks, menjadikan jumlah kumulatif kes positif bagi kluster ini sebanyak 25 kes. Aktiviti saringan dan kawalan masih giat dijalankan," katanya.

Selain itu, Masidi turut berkata selain Kluster Samedra, satu lagi kluster iaitu Kluster Serudung Baru di Tawau berkait rapat dengan majlis hari jadi yang diadakan di rumah kes indeks dan dihadiri ahli keluarga pada 12 Jun lepas.

"Kes indeks adalah lelaki berusia 60 tahun disahkan positif Covid-19 pada 16 Jun lepas di Klinik Kesihatan

Apas Balung setelah bergejala sejak 13 Jun 2021.

"Susulan kes itu, saringan kontak pada 20 Jun lalu mendapati sembilan individu dalam kalangan jemputan majlis terbabit dikesan positif.

"Setakat hari ini, sembilan lagi kes positif direkodkan menjadikan jumlah kumulatif bagi kluster ini sebanyak 19 kes," katanya dalam satu kenyataan media, semalam.

Dalam pada itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II negeri berkata jumlah kes harian Covid-19 semalam kekal mencatatkan sebanyak tiga angka.

"Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), jumlah kes positif baharu COVID-19 pada hari ini (semalam) adalah sebanyak 166 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 67,707 kes dan dua kes kematian direkodkan membabitkan daerah Tawau," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Jun 2021 @ 8:09 AM