GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Rafiqah Dahali


Kota Kinabalu: Aktiviti ziarah keluarga mencetuskan satu lagi kluster baharu, Kluster Pintasan sehingga menyebabkan jangkitan menular dalam komuniti, semalam.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, kluster yang dikenal pasti di Kota Belud itu mula dikesan di Hospital Kota Belud.

"Ini bermula apabila kes indeks adalah seorang wanita berusia 35 tahun dari Kampung Taun Gusi Keranjangan disahkan positif Covid-19 pada 30 Jun setelah bergejala demam, sakit tekak dan hilang deria bau sejak 28 Jun lepas.

"Berdasarkan siasatan, kes indeks dipercayai mendapat jangkitan dari komuniti ketika menziarahi keluarga di Kampung Pintasan pada 25 Jun.

"Pengesanan secara aktif dan saringan terhadap 34 kontak mendapati 17 lagi individu dikesan positif termasuk lapan kes baharu hari ini, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 18 kes.

"Semua 18 kes positif ini sudah dirujuk ke hospital untuk rawatan lanjut dan pengasingan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid (PKRC) di daerah terbabit," katanya.

Mengulas lanjut, Masidi berkata, satu lagi kluster baharu di daerah sama membabitkan jangkitan dalam komuniti, Kluster Siasai Dundau sehingga menular ke tiga daerah.

"Kes indeks adalah wanita berusia 24 tahun dari Kampung Siasai Dundau yang disahkan positif Covid-19 melalui saringan masuk kerja pada 28 Jun lepas di Hospital Universiti Malaysia Sabah (UMS) di samping turut mempunyai gejala demam, selesema dan batuk sejak pada 21 Jun.

"Susulan pengesanan secara aktif dan saringan kontak terhadap 132 individu, 34 lagi kes positif dikesan positif termasuk 11 kes baharu yang direkod pada hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes positif sebanyak 47 kes.

"Daripada jumlah itu, 11 kes didaftarkan di daerah Kota Kinabalu dan satu kes di daerah Penampang," katanya dalam satu kenyataan media, semalam.

Dalam pada itu, Masidi yang juga merupakan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II negeri berkata, kes positif baharu Covid-19, semalam adalah 244 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 71,189 kes dan tiada kes kematian direkodkan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Julai 2021 @ 8:05 AM