GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Rafiqah Dahali


Kota Kinabalu: Sabah semalam mencatatkan empat lagi kluster Covid-19 institusi pendidikan membabitkan tiga daerah iaitu Kota Marudu, Ranau dan Sandakan.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata kluster tersebut adalah kluster Jalan Tandek dan Kluster Jalan Taman Beringin di Kota Marudu, Kluster Jalan Pendidikan Ranau di daerah Ranau dan Kluster Sungai Batang Batu Sepuluh di Sandakan.

Menurutnya kes indeks bagi Kluster Jalan Tandek membabitkan pelajar asrama lelaki tempatan berusia 15 tahun di SMK Tandek 1 yang mula dikesan bergejala pada 15 Januari sebelum disahkan positif Covid-19 pada 17 Januari lalu.

Saringan terhadap 43 rakan asrama dan kelas mendapati 34 lagi kes positif menjadikan jumlah kumulatif bagi kluster itu sebanyak 35 kes.

Selain itu, bagi kes indeks kluster Jalan Taman Beringin pula membabitkan pelajar perempuan 17 tahun SMK Bandau yang dikesan positif Covid-19 semasa menjalankan saringan pada 19 Januari lalu.

"Saringan Covid-19 pelajar tersebut didapati positif. Manakala, saringan ke atas 49 kontak rapat mendapati 24 lagi kes positif menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 25 kes termasuk 19 kes baharu hari ini (semalam) terdiri daripada pelajar asrama, harian dan kakitangan sekolah," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai Kluster Jalan Pendidikan Ranau, Masidi berkata kes indeks membabitkan pelajar lelaki tingkatan enam di SMK Mat Salleh.

"Pelajar terbabit dikesan positif Covid-19 pada 31 Januari melalui ujian saringan kendiri, selepas mula bergejala sejak 29 Januari dan terus dikuarantin pada hari yang sama.

"Saringan terhadap 87 orang terdiri daripada rakan sebilik, asrama serta rakan sekelas mendapati 24 lagi kes positif menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 25 kes," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Masidi turut mengulas bagi kes indeks Kluster Sungai Batang Batu Sepuluh pula membabitkan pelajar perempuan, 16 tahun di sekolah MRSM Tun Mohammad Fuad Stephens.

"Pelajar tersebut mula bergejala demam sejak 25 Januari lalu. Saringan terhadap 101 kontak rapat mendapati 49 lagi kes positif terdiri daripada pelajar asrama dan harian, guru serta kontak keluarga menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 50 kes termasuk 36 kes baharu hari ini (semalam)," katanya.

Dalam pada itu, Masidi turut mengatakan bagi kes dari empat kluster terbabit dikategorikan dalam kategori satu dan dua (bergejala ringan), diasingkan dan di berikan rawatan yang selanjutnya.

Dalam pada itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II negeri berkata jumlah kes harian Covid-19 semalam mencatatkan peningkatan mendadak sehingga hampir melepasi empat angka.

"Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) jumlah kes positif baharu Covid-19 semalam adalah sebanyak 909 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 250,440 kes.

"Sebanyak dua kes kematian dilaporkan iaitu masing-masing satu kes di daerah Sandakan dan Tuaran," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Februari 2022 @ 8:21 AM