Foto hiasan
Foto hiasan
Rafiqah Dahali

Kota Kinabalu: Aktiviti perjumpaan sosial dan kunjungan ketika Aidilfitri mencetuskan dua lagi kluster baharu di Sandakan serta Tawau di Sabah.

Dua kluster baharu yang dikesan itu adalah Kluster Gambaron-Telupid dan Kluster Kampung Blok 31.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah Datuk Masidi Manjun menjelaskan Kluster Gambaron-Telupid dikesan di Sandakan, manakala Kluster Kampung Blok 31 di Tawau.

Menurutnya, Kluster Gambaron-Telupid adalah kluster tempat kerja yang mencatat dua kes positif baharu pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 12 kes.

"Indeks kluster itu merupakan lelaki berusia 32 tahun yang bergejala demam, batuk dan sesak nafas sejak 26 Mei lalu sebelum disahkan positif di Klinik Kesihatan Telupid pada Rabu lalu.

"Saringan susulan mendapati lapan kes di tempat kerja (Kampung Gambaron) serta sekitar daerah Telupid dan satu lagi kes di Sandakan.

"Berdasarkan siasatan, kes indeks dipercayai mendapat jangkitan ketika menghadiri perjumpaan sosial bersama kontak pada 22 Mei di sebuah kafe di Telupid.

"Selain itu, penularan kes juga disumbang oleh beberapa rakan sekerja indeks yang pulang ke kawasan berisiko tinggi (Tawau) untuk menyambut Aidilfitri pada 7 hingga 16 Mei lepas," katanya dalam kenyataannya hari ini.

Masidi berkata, seramai 136 individu sudah disaring dan aktiviti saringan serta siasatan punca jangkitan masih lagi diteruskan.

Mengenai Kluster Kampung Blok 31 pula, Masidi berkata, kluster terbabit dikenal pasti berpunca dari aktiviti ziarah ketika Aidilfitri baru-baru ini.

"Kluster ini mula direkodkan apabila indeksnya yang juga seorang suri rumah berusia 71 tahun disahkan positif Covid-19 melalui saringan Brought In Dead (BID) di Hospital Tawau pada 27 Mei lalu.

"Susulan itu, saringan kontak rapat mendapati tiga kes positif pada 30 Mei lalu dan 21 kes baharu dikesan pada hari ini menjadikan jumlah kumulatifnya sebanyak 31 kes.

"Aktiviti pengesanan kontak dan mengenal pasti punca jangkitan sedang giat dijalankan," katanya.

Masidi yang juga merupakan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II negeri berkata, jumlah kes harian Covid-19 hari ini kekal mencatatkan sebanyak tiga angka.

"Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), jumlah kes positif baharu Covid-19 pada hari ini adalah sebanyak 259 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 63,565 kes dan dua kematian direkodkan masing-masing membabitkan Tawau dan Kota Kinabalu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Jun 2021 @ 9:27 PM