Foto hiasan
Foto hiasan
Rafiqah Dahali

Kota Kinabalu: Sabah hari ini mencatatkan tiga lagi kluster Covid-19 membabitkan institusi pendidikan di tiga daerah iaitu Lahad Datu, Tuaran dan Keningau.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah Datuk Masidi Manjun berkata, ketiga-tiga kluster terbabit dikesan pihaknya berlaku di asrama sekolah.

Mengulas lanjut, kluster di Lahad Datu, Kluster Jalan Terusan membabitkan pelajar asrama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Terusan dengan kes indeks seorang pelajar lelaki berusia 13 tahun bergejala dikesan positif Covid-19 sejak 20 Januari lalu.

"Saringan susulan terhadap rakan sekelas dan rakan satu asrama menjadikan jumlah kumulatif kes positif sebanyak 10 kes.

"Selain itu, Kluster Jalan Kiulu di Tuaran membabitkan pelajar di SMK Tun Fuad. Kes indeks seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun disahkan positif Covid-19 selepas bergejala sejak 17 Januari lalu.

"Susulan saringan kontak rapat dan saringan bergejala, seramai 14 orang lagi dikesan positif daripada 150 orang yang telah disaring menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 15 kes.

"Punca jangkitan masih dalam siasatan, bagaimanapun kemungkinan ia merebak daripada aktiviti pergaulan pelajar ketika berada di asrama," katanya.

Selain itu, satu lagi kluster institusi pendidikan, Kluster Puri Seberang di Keningau membabitkan pelajar asrama di SMK Keningau 1.

"Kes indeks adalah perempuan berusia 18 tahun di SMK Keningau yang bergejala sejak 20 Januari lalu.

"Pihak sekolah yang dimaklumkan pada 26 Januari terus bertindak menjalankan saringan kendiri terhadap para pelajar asrama yang mempunyai gejala sama.

"Saringan pengesahan dijalankan mendapati 18 lagi kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 19 kes positif dalam kluster ini," katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Sementara itu, Masidi turut menjelaskan semua pelajar yang terbabit dalam ketiga-tiga kluster terbabit berada dalam kategori satu dan dua (gejala ringan), dikuarantin dan menerima rawatan yang bersesuaian.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 January 2022 @ 9:09 PM