ANTARA yang ditahan dalam Ops Cegah yang diadakan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Kuala Muda di sekitar Sungai Petani, semalam. FOTO IHSAN AADK
ANTARA yang ditahan dalam Ops Cegah yang diadakan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Kuala Muda di sekitar Sungai Petani, semalam. FOTO IHSAN AADK
Nor Farhani Che Ad


IBU tunggal kepada enam anak antara 17 individu yang ditahan kerana positif dadah dalam Ops Cegah di sekitar Sungai Petani, semalam.

Wanita berusia 39 tahun yang bekerja sebagai tukang cuci ditahan di rumahnya di Kampung Belakang Taman Sri Putra, Bakar Arang, Sungai Petani.

Ketua Pegawai Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah Kuala Muda, Arnida Ishak berkata, hasil ujian saringan air kencing mendapati wanita terbabit positif dadah jenis methamphetamine.

“Ketika serbuan dilakukan, ibu kepada anak berusia setahun hingga 16 tahun itu sedang tidur dalam rumah berkenaan yang turut dijadikan sebagai ‘port’ untuk melepaskan gian.

“Dia ditahan bersama seorang lelaki berusia 25 tahun serta seorang gadis berusia 19 tahun yang turut berada di rumah terbabit,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Arnida berkata, dalam operasi berakhir jam 11.30 malam, pihaknya turut menumpukan 11 lokasi termasuk Flat Paya Nahu, Taman Bersatu, Taman Arked, Taman Semarak, Kampung Penghulu Him, Taman Seraya Emas dan Taman Orkid Sungai Layar.

Katanya, kesemua yang ditahan berusia 19 hingga 52 tahun.

“Hasil ujian saringan air kencing mendapati 12 daripada mereka positif dadah jenis methamphetamine, manakala lima lagi positif methamphetamine dan morfin.

“Siasatan dibuat mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 Pindaan 1998,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Februari 2020 @ 5:56 PM