Antara individu yang ditahan dalam Ops Cegah yang dijalankan Agensi Antidadah Kebangsaan di sekitar Sungai Petani di sini, hari ini. FOTO IHSAN AADK
Antara individu yang ditahan dalam Ops Cegah yang dijalankan Agensi Antidadah Kebangsaan di sekitar Sungai Petani di sini, hari ini. FOTO IHSAN AADK
Nor Farhani Che Ad


DUA wanita sarat mengandung antara 10 individu ditahan dalam Ops Cegah dijalankan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di Sungai Petani, semalam.

Wanita berusia 26 dan 27 tahun itu ditahan di lokasi berasingan di Flat Paya Nahu dalam operasi jam 8.30 pagi sehingga 4.30 petang.

Ketua Pegawai AADK Daerah Kuala Muda, Arnida Ishak berkata, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati dua wanita itu positif morfin dan methamphetamine.

"Terdahulu kami menahan seorang wanita mengandung lapan bulan bersama suaminya dan seorang wanita lain di sebuah rumah.

"Seterusnya, tangkapan turut dilakukan ke atas seorang lagi wanita hamil tujuh bulan di kawasan perumahan sama," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Arnida berkata, pihaknya turut menyerbu atas lima lokasi lain di sekitar Sungai Petani.

Beliau berkata, kawasan terbabit adalah Taman Ria, Taman Nilam, Taman Arked, Kampung Baru Bakar Arang dan Taman Sejati.

"Semua 10 individu ditahan itu membabitkan tujuh wanita dan tiga lelaki berusia di antara 21 hingga 39 tahun.

"Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati tujuh positif dadah jenis methamphatamine, dua positif morfin dan seorang positif kedua-dua jenis dadah terbabit.

"Mereka disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah Rawatan dan Pemulihan 1983 pindaan 1998," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Jun 2020 @ 2:13 PM