ANGGOTA AADK menahan wanita dalam pantang kerana didapati positif dadah. FOTO ihsan AADK
ANGGOTA AADK menahan wanita dalam pantang kerana didapati positif dadah. FOTO ihsan AADK
Zuliaty Zulkiffli

Sungai Petani: Wanita dalam pantang selepas melahirkan anak keempat ditahan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kuala Muda, semalam kerana disyaki terbabit dengan penagihan dadah.

Wanita berusia 27 tahun itu yang positif methamphetamin ditahan dalam serbuan di rumah di Taman Keladi, di sini.

Ketua Pegawai AADK Daerah Kuala Muda, Arnida Ishak berkata, wanita terbabit tinggal bersama suami dan kakak iparnya di rumah berkenaan namun hanya dia ditahan dalam serbuan itu.

Beliau berkata, suaminya juga baru dibebaskan dari penjara kerana turut terbabit dalam penagihan dadah.

"Tiga anak mereka yang berusia 5, 8 dan 10 tahun tinggal bersama ibu mentua wanita berkenaan" katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, bayi wanita itu meninggal dunia ketika dilahirkan 17 hari lalu.

Arnida berkata, dalam operasi yang bermula 9 pagi semalam hingga 10.30 malam, pihaknya menahan 15 lelaki dan dua wanita berusia 20 hingga 48 tahun.

Katanya, AADK menggempur 22 lokasi di Gurun, Bedong, Merbok dan Bakar Bata.

Beliau berkata, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati kesemua mereka positif dadah iaitu dua daripadanya positif dadah jenis methamphetamin dan morfin, 14 positif dadah jenis methamphetamin manakala seorang positif ganja.

"Berikutan itu 17 penagih yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 Pindaan 1998," katanya.

Arnida berkata, tujuh daripadanya akan direman di lokap Kuala Muda dan 10 lagi dibebaskan dengan jaminan bersyarat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Oktober 2020 @ 12:04 PM