SEBAHAGIAN daripada 11 lelaki yang ditahan dalam Ops Cegah Agensi AADK Daerah Kuala Muda di sekitar Sungai Petani, semalam. FOTO ihsan AADK.
SEBAHAGIAN daripada 11 lelaki yang ditahan dalam Ops Cegah Agensi AADK Daerah Kuala Muda di sekitar Sungai Petani, semalam. FOTO ihsan AADK.
Nor Farhani Che Ad


TIGA beradik antara 11 lelaki ditahan dalam Ops Cegah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Kuala Muda di sekitar Sungai Petani, semalam.

Ketiga-tiga mereka berusia 25, 35 dan 37 tahun ditahan di rumah mereka di Taman Aman Jaya, Bedong, di sini.

Ketua Pegawai AADK Daerah Kuala Muda, Arnida Ishak berkata, operasi itu dijalankan selama 10 jam bermula pada 10 pagi sehingga 11.50 malam.

“Selain tiga beradik itu, lapan lagi lelaki ditahan di beberapa lokasi berasingan termasuk rumah yang dijadikan sebagai ‘port’ penagihan dadah.

“Antara kawasan terbabit adalah Flat Paya Nahu, Bandar Amanjaya, Kampung Bukit Sungai Pasir, Taman Desa Bidara dan Taman Delima,” katanya.

Arnida berkata, semua ditahan berusia antara 22 hingga 57 tahun.

Beliau berkata, ujian saringan awal air kencing mendapati dua daripada mereka positif syabu, tiga positif morfin manakala selebihnya positif kedua-dua jenis dadah berkenaan.

“Semua ditahan akan dikenakan tindakan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 pindaan 1998,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 November 2019 @ 4:23 PM