Nor Farhani Che Ad


PENGIDAP kanser payudara tahap 2 antara 50 individu yang ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di Sungai Petani, selepas didapati positif dadah.

Wanita berusia 21 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Flat Paya Nahu menerusi Ops Total Enforcement (TE) II yang diadakan selama tiga hari bermula Isnin lalu.

Ketua Pegawai AADK Daerah Kuala Muda, Arnida Ishak berkata, ketika serbuan, wanita terbabit berada di rumah bersama dua anaknya yang berusia enam bulan dan tiga tahun, manakala suaminya keluar bekerja.

"Siasatan mendapati, wanita itu mula terbabit dengan penagihan dadah jenis methamphetamine sejak berusia 16 tahun.

"Lebih menyedihkan dalam keadaan dirinya yang disahkan mengidap kanser payudara tahap 2, dia masih meneruskan aktiviti tidak sihat itu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Arnida berkata, dalam operasi itu, pihaknya turut menumpukan 18 kawasan berisiko tinggi lain di sekitar Sungai Petani dan Bedong.

Antara lokasi yang diserbu adalah Kampung Banggol Sidam Kiri, Kampung Pengkalan Lebai Man, Taman Keladi, Taman Sri Bayu dan beberapa kawasan perumahan yang lain.

Beliau berkata, kesemua yang ditahan berusia antara 15 hingga 65 tahun.

Katanya, ujian saringan awal air kencing mendapati 34 individu positif dadah jenis methamphetamine, manakala 16 lagi positif dadah morfin.

Katanya, kesemua mereka di siasat di bawah Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 Pindaan 1998.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Jun 2020 @ 8:38 AM