ANTARA individu yang ditahan AADK Daerah Kuala Muda di sekitar Sungai Petani. FOTO ihsan AADK
ANTARA individu yang ditahan AADK Daerah Kuala Muda di sekitar Sungai Petani. FOTO ihsan AADK
Nor Farhani Che Ad


DUA ibu tunggal ditahan di sebuah rumah di Taman Seri Impiana, Sungai Petani, semalam, selepas didapati positif dadah.

Ibu kepada lima anak dan seorang anak masing-masing berusia 28 dan 33 tahun itu ditahan bersama seorang lelaki berusia 34 tahun di rumah terbabit yang dipercayai menjadi sarang penagihan dadah.

Ketua Pegawai Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Kuala Muda, Arnida Ishak berkata, mereka antara 16 individu yang ditahan menerusi Ops Cegah yang diadakan di sekitar Sungai Petani bermula 9 pagi sehingga 9.30 malam.

"Siasatan mendapati rumah berkenaan adalah rumah ibu tunggal beranak lima yang diduduki bersama ibu bapanya dan dipercayai sering dikunjungi oleh penagih lain untuk melepaskan gian.

"Ujian saringan awal air kencing mendapati ibu tunggal lima anak itu positif dadah jenis methamphetamine dan morfin manakala dua lagi yang ditahan bersamanya positif dadah jenis methamphetamine," katanya dalam kenyataan hari ini.

Arnida berkata, dalam operasi itu, pihaknya turut membuat serbuan ke atas 10 lokasi lain termasuklah Bandar Puteri Jaya, Kampung Belakang Sekolah Syed Jan Sungai Layar, Taman Sri Tanjung, Taman Ria Jaya dan Flat Paya Nahu.

Katanya, kesemua yang ditahan berusia 21 hingga 60 tahun.

Beliau berkata, 11 daripadanya didapati positif dadah jenis methamphetamine manakala lima lagi positif dadah jenis methamphetamine dan morfin.

"Mereka disiasat mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 Pindaan 1998," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Ogos 2020 @ 11:41 AM