DATUK Seri Rohani Abdul Karim membantu memasak untuk sebahagian 173 mangsa banjir ketika lawatannya di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Ketereh. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
DATUK Seri Rohani Abdul Karim membantu memasak untuk sebahagian 173 mangsa banjir ketika lawatannya di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Ketereh. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Siti Nor Hidayatidayu Razali


KEMENTERIAN Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyeru kaunselor Perkumpulan Wanita (PERWANI) supaya turun padang memberi kaunseling kepada mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri terjejas banjir.

Menterinya, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, mangsa banjir perlu sokongan emosi kerana trauma dengan situasi yang dihadapi mereka.

"Bukan sahaja bantuan fizikal, malah mangsa banjir perlu sokongan emosi dengan diberi kaunseling.

"Oleh itu, kita seru semua kaunselor yang dilatih turun bertemu mangsa banjir dengan kadar segera," katanya ketika ditemui selepas memberi sumbangan kepada mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Ketereh, Kota Bharu, hari ini.

Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di SK Sri Ketereh seramai 593 mangsa daripada 137 keluarga yang mendapat barangan keperluan dan makanan.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan, Said Sidup dan Timbalan Pengurus Besar Pembangunan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu, Nik Roslan Idris.

Rohani berkata, sehingga kini seramai 5,000 kaunselor PERWANI yang sudah dilatih di seluruh negara termasuk Kelantan seramai 450 orang.

Menurutnya, seramai 50 kaunselor PERWANI yang bertugas di PPS di Kelantan yang akan membantu kaunselor JKM bagi memulihkan mangsa.

Pada masa sama, beliau menyeru pihak yang bermurah hati supaya memberi sumbangan tenaga dan material kepada mangsa banjir.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 November 2017 @ 9:26 PM