AZRIAH (kiri) bersama kanak-kanak mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
AZRIAH (kiri) bersama kanak-kanak mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
Abnor Hamizam Abd Manap


Jelebu: Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul, kejadian banjir terburuk di daerah ini pada 18 Disember lalu pastinya meninggalkan kesan mendalam dalam kalangan penduduk yang mengalami kejadian itu.

Sejak kejadian itu, daerah ini tidak putus-putus menerima sukarelawan dari luar yang membawa pelbagai bantuan untuk diserahkan kepada mangsa banjir.

Tidak ketinggalan sukarelawan yang memberi perkhidmatan kaunseling kepada mangsa bagi memastikan mereka tabah menghadapi dugaan dihadapi.

Kaunselor, Azriah Mohd Azmir berkata, dia perlu memastikan daya tahan dirinya sendiri kuat, selain menunjukkan empati kepada mangsa.

"Ini adalah pengalaman pertama turun padang bertemu mangsa di Jelebu yang berdepan musibah paling teruk dialami.

"Mereka bukan sahaja mengalami kerosakan teruk harta benda malah ada di antaranya kehilangan rumah akibat banjir itu, jadi kita perlu memberikan sokongan emosi," katanya.

Azriah yang bertugas sebagai kaunselor Pendidikan Daerah, Pejabat Pendidikan Daerah Tampin berkata, biarpun ada sesetengah pihak mendakwa, kaunselor hanya pandai bercakap namun realitinya kaunselor juga perlu bijak menangani emosi dalam apa jua situasi.

Disebabkan itu, katanya, kaunselor perlu mendampingi mangsa banjir dan meletakkan diri seperti berada di tempat mereka.

"Mangsa banjir perlu bercerita, kebiasaan apabila mereka bercerita ia akan memberi kelegaan, mengurangkan tekanan emosi sekali gus membolehkan mereka positif menerima kejadian berlaku.

"Bukan mudah untuk mereka menerima bencana alam yang selama ini tidak terfikir di benak mereka kejadian seteruk ini boleh berlaku di sini," katanya.

Azriah berkata, bukan sahaja golongan dewasa, sukarelawan kaunseling turut mendekati kanak- kanak menggunakan terapi bermain.

Katanya, daripada terapi itu, mereka secara tidak langsung berkongsi pengalaman banjir yang dilalui.

"Saya juga kena kuatkan diri untuk berdepan dengan mangsa banjir kerana sebagai wanita sudah pasti mudah mengalirkan air mata apabila mendengar cerita sedih daripada mangsa," katanya yang menyertai kerja amal sebagai kaunselor dikelolakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menerusi Pasukan Sokong Psikologi (PST) jabatan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Disember 2021 @ 2:07 PM