PERABOT span selulosa yang lasak.
PERABOT span selulosa yang lasak.
Nurul Husna Mahmud


PERNAHKAH anda membayangkan akan menerima penghantaran perabot dalam kiriman bersaiz sekeping kertas A4?

Itu masa depan material yang dikaji sekumpulan penyelidik dari Sekolah Rekabentuk University of Art and Design Lausanne(ECAL), Renens, Switzerland menerusi penghasilan rangkaian perabot berbentuk leper.

Koleksi inovasi perabot yang dipanggil Solusi Di Bawah Tekanan atau 'Under Pressure Solutions' (UPS) adalah merujuk pembuatan perabot daripada kepingan span selulosa yang nipis dan dimampatkan.

Rangkaian perabot UPS membolehkan ia dimuatkan dalam bungkusan yang nipis sehingga boleh diselit dalam kotak surat dan memudahkan urusan penghantaran perabot.

Ketika demonstrasi inovasi itu sempena Minggu Rekabentuk Milan di Itali, dari bentuk leper kepada bentuk perabot sebenar, kaedahnya hanya perlu merendam perabot UPS di dalam air.

Memetik kata penyelidik dan pereka bentuk industri ECAL, Christophe Guberan, menguruskan perabot itu mudah dengan membiarkan material itu dibasahkan di dalam tab mandi atau pancuran mandian, ia boleh mengembang kira-kira 10 kali ganda saiz asalnya dalam masa beberapa saat.

Sebaik diperah atau span itu dibiarkan kering dan keras, terhasillah perabot yang kukuh serta mampu menampung berat seseorang sehingga mengatasi ketahanan plastik konvensional.

MATERIAL span selulosa mengembang apabila direndam.
MATERIAL span selulosa mengembang apabila direndam.

"Span itu berasal daripada potongan kayu dan kekuatannya diperoleh menerusi gentian selulosa yang sama digunakan pokok untuk menguatkan batang dan dahannya.

"Selulosa itu adalah sebahagian daripada alam jadi seperti pokok, ia boleh menjadi fleksibel dan kuat pada masa yang sama," katanya.

Dengan semburan air minimal, kepingan selulosa menjadi fleksibel sekali lagi, membolehkan ia dibentuk semula atau dibaiki termasuklah melicinkan sebarang kemek.

Sebaik perabot mencapai penghujung hayatnya, ia boleh dikitar semula atau dikompos di dalam tanah untuk tempoh masa beberapa bulan.

UPS adalah hasil projek penyelidikan selama dua tahun oleh Guberan dan rakan penyelidik yang juga profesor ÉCAL, Anthony Guex dan Camille Blin bagi penerokaan material yang boleh mengembang dan mampat.

Span selulosa memberi hasil terbaik berbanding material lain, gabus dan lateks. Malah material ini digunakan secara meluas untuk membuat span rumah, alat solek dan perubatan walaupun penggunaannya dalam perabot tidak pernah berlaku sebelum ini.

REKAAN bangku yang menarik menggunakan span selulosa.
REKAAN bangku yang menarik menggunakan span selulosa.

Bagi penghasilan kepingan span, selulosa diekstrak daripada potongan kayu, dilarutkan secara kimia dan akhirnya dijana semula dalam bentuk kepingan menggunakan proses yang sama dibangunkan untuk membuat tekstil viskos dan selulosa lain.

Garam Glauber (dikenali sebagai mineral digunakan dalam industri tekstil, kaca dan banyak lagi) ditambah ke dalam campuran selulosa itu untuk memberikan span yang banyak liang dan meningkatkan keupayaan semula jadi selulosa bagi menyerap air.

Pameran di Milan itu menyerlahkan hasil inovasi UPS dengan menampilkan 16 perabot dan perkakas rumah termasuk kerusi, meja, bangku, dan kepingan yang lebih kecil seperti rak mini.

Malah, beberapa produk juga dicipta menggunakan mesin pemotong kawalan komputer atau CNC Milling yang mana alur span hampir tidak dapat dilihat dengan mata kasar tetapi memberi kesan dramatik sebaik dibasahkan. Contoh mudah adalah rekaan tong sampah dan pasu ikebana bertingkat oleh pereka Chris Kabel.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 April 2024 @ 6:31 AM