Siti Rohana Idris


Tumpat: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyediakan lebih 100 kaunselor untuk ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri yang dilanda musibah banjir.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, penempatan kaunselor berkenaan untuk memberi kaunseling kepada mangsa banjir yang terkesan dari segi emosi.

"Kaunselor kita memang sentiasa ada yang ditugaskan di PPS untuk memberi khidmat kaunseling kerana mungkin ada mangsa yang tak dapat menanggung emosi mereka.

"Bagaimanapun, setakat ini kita tidak menerima apa-apa yang negatif dan semua mangsa dapat menerima ujian (banjir) kerana kami menyediakan perkhidmatan terbaik," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat keluarga tiga beradik yang maut akibat renjatan elektrik di Kampung Bendang Surau, Morak, di sini, pada Isnin lalu.

Dalam kejadian pada 11.45 pagi, Nurul Syazwani Mohd Nadzir, 33, serta dua adiknya, Sakinah, 29, dan Noor Fathiah, 27, maut akibat terkena renjatan elektrik selepas terpegang sebatang tiang yang membawa arus elektrik di rumah jirannya ketika ingin melihat banjir.

Dalam perkembangan sama, Nancy berkata, pihaknya bersedia memberi khidmat kaunseling kepada keluarga mangsa terutama ibu bapa tiga beradik perempuan itu kerana kejadian yang berlaku disifatkan sebagai tragedi menyayat hati.

Nancy pada sidang media di Kampung Bendang Surau, Morak bagi melawat keluarga tiga beradik yang maut akibat renjatan elektrik pada pagi Isnin lalu. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Nancy pada sidang media di Kampung Bendang Surau, Morak bagi melawat keluarga tiga beradik yang maut akibat renjatan elektrik pada pagi Isnin lalu. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

"Tujuan saya datang adalah untuk mmberi sokongan moral dan sumbangan kepada keluarga dan pada masa sama kita memerhati apa intervensi yang boleh dilakukan.

"Nampaknya mereka okay setakat ini dan yang penting kita nak keluarga ini tenang dan terus kuat menerima takdir yang berlaku," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Disember 2022 @ 2:02 PM