ARNE Slot bakal gantikan tempat Klopp. FOTO AFP
ARNE Slot bakal gantikan tempat Klopp. FOTO AFP
AFP

London: Liverpool mencapai persetujuan dengan Feyenoord untuk Arne Slot menggantikan Jurgen Klopp sebagai pengurus, lapor media Britain.

The Press Association berkata pakej pampasan untuk pengendali berusia 45 tahun itu, yang mempunyai baki dua tahun dalam kontraknya, kini sudah dipersetujui.

BBC mendakwa bahawa perjanjian itu bernilai sehingga £9.4 juta (RM55.9 juta).

Slot pada Khamis lalu berkata bahawa dia 'yakin' akan bertugas di Anfield.

"Saya ingin pergi ke Liverpool. Sekarang saya sedang menunggu untuk melihat sama ada kelab mencapai persetujuan. Saya sangat yakin dengannya," katanya kepada pemberita.

Slot berhijrah ke Feyenoord pada 2021 selepas mempamerkan aksi cemerlang dalam peranan pertamanya selaku pengurus di AZ Alkmaar.

Dia membawa gergasi Belanda itu ke final pertama Liga Persidangan Europa pada penghujung musim pertamanya, di mana mereka tewas tipis 0-1 kepada Roma bimbingan Jose Mourinho.

Slot kemudiannya memberikan kejuaraan liga kedua dalam tempoh 24 tahun kepada De Kuip musim lalu sebelum menandatangani perjanjian baru selama tiga tahun.

Klopp akan berundur pada penghujung musim ini selepas sembilan tahun membimbing Liverpool yang menyaksikannya membantu kelab itu memenangi Liga Juara-Juara pada 2019 dan trofi Liga Perdana Inggeris (EPL) setahun kemudian.

"Saya suka cara pasukan ini bermain bola sepak. Jika dia orangnya, saya gembira dia mahukan tugasan ini," kata Klopp kepada pemberita semalam apabila diminta memberikan komen kualiti yang ada pada Slot.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 April 2024 @ 7:36 AM