Anna Jobling (kanan) bersama Sarah Yasmine
Anna Jobling (kanan) bersama Sarah Yasmine
Najiy Jefri


Cyberjaya : Pelakon, Anna Jobling, 24, mengakui wanita yang mendakwa kekasih kepada penyanyi dan pelakon, Aliff Aziz iaitu Sarah Yasmine ialah kenalannya.

Anna berkata, kali pertama dia bertemu wanita itu adalah pada Disember tahun lalu di sebuah acara di Singapura.

"Ketika itu, dia datang ke gerai saya selama tiga hari dan kami luangkan masa bersama. Pasukan saya pun turut mengenalinya dan dia baik dengan kami.

"Peminat kenal saya macam mana, kalau orang itu tiada masalah dengan saya, sudah tentu saya pun okey untuk berkawan dengan orang berkenaan," katanya ketika ditemui di majlis rumah terbuka Gema Lebaran Anna Jobling di Royale Palace, di sini, malam tadi.

Menurut Anna, dia tidak terkejut apabila namanya dikaitkan dengan wanita itu susulan gambar bersama mereka yang dikongsikan Sarah di media sosial sebelum ini.

"Saya tak terkejut sebab sudah biasa terkena tempias dengan isu-isu yang tiada kena-mengena dengan saya.

"Bagi saya ia normal dan saya okay saja. Lagipun kecaman yang saya terkena itu tidak mengganggu kerja saya," katanya.

Dalam masa sama, dia tidak tahu-menahu mengenai pendedahan yang dibuat Sarah di media sosial kerana terikat dengan jadual kerja yang padat.

"Mengenai isu kontroversi itu saya tak tahu langsung sebab dia sendiri tak pernah kongsi dengan saya.

"Saya pun sibuk dengan kerja. Tambah jadual sangat padat, jadi saya tiada masa nak masuk campur dengan isu berkenaan.

"Saya pun tak tanya fasal isu peribadi dekat dia," katanya.

Terdahulu, tular foto Sarah bersama Anna yang mendakwa mereka berkawan baik sehingga mengundang rasa kurang senang dalam kalangan netizen.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 April 2024 @ 8:10 AM