Meerqeen
Meerqeen
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur : "Saya tak tahu. Mungkin kami pernah berjumpa untuk bergambar kot," kata pelakon, Meerqeen, 23, ketika diminta mengulas mengenai namanya yang dikaitkan dengan wanita Singapura, Sarah Yasmine, menerusi beberapa hantaran netizen di aplikasi X.

Dalam hantaran itu, mereka mendakwa kononnya wujud hubungan antara Meerqeen dengan Sarah yang kini hangat diperkatakan berkaitan kontroversi bersama pelakon dan penyanyi Singapura, Aliff Aziz.

Meerqeen ketika ditemui di sidang media dan tayangan episod pertama drama bersiri Framed berkata, mungkin wanita itu adalah peminatnya.

"Saya rasa dia peminat kot, dahulu. Sebab dia kata dia berkawan dengan semua pelakon, kan. Mungkin. Sebab sekarang ini saya berjumpa dengan sejuta (ramai) orang," katanya.

Menurut Meerqeen, dia tidak mahu membuat sebarang spekulasi mengenai hal berkaitan orang lain dan menerima hakikat bahawa namanya sentiasa akan terpalit dengan kontroversi yang berlaku di dalam industri hiburan.

"Saya tak ada sebarang spekulasi mengenai perkara itu. Itu hal orang lain. Sekarang ini, saya fokus kepada karya-karya saya yang akan keluar.

"Semua yang buruk dalam industri ini mesti terpalit nama saya kan. Jadi, ia memang begitu. Kadang-kadang, saya kena 'lari' dari benda ini untuk menumpukan lebih perhatian kepada kerjaya dan nama saya," katanya.

Ditanya sama ada timbul rasa kecewa mengenai situasi itu, Meerqeen menegaskan bahawa dia adalah manusia yang memiliki hati dan perasaan.

"Tentunya kecewa. Saya ada perasaan juga. Saya bukan robot yang tak ada perasaan," katanya.

Terbaru, Meerqeen membintangi drama bersiri bergenre penyiasatan, Framed arahan Sein Qudsi yang turut menampilkan Mimi Lana, Sangeeta Krishnasamy, Riz Amin, Khir Rahman dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 April 2024 @ 8:20 AM