Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Nancy Shukri melawat Depoh Simpanan Keperluan Bencana di Taman Kemumin, Pengkalan Chepa di sini, hari ini. FOTO Hidayatidayu Razali
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Nancy Shukri melawat Depoh Simpanan Keperluan Bencana di Taman Kemumin, Pengkalan Chepa di sini, hari ini. FOTO Hidayatidayu Razali
Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Kerajaan memperuntukkan RM35.8 juta bagi menghadapi banjir pada Monsun Timur Laut (MTL) tahun ini dan awal 2024.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Nancy Shukri berkata, daripada jumlah itu, RM13.7 juta membabitkan peruntukan Persekutuan dan negeri RM22.1 juta.

Katanya, peruntukan berkenaan diberikan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk menyediakan keperluan buat mangsa banjir.

"Pada masa sama, sebanyak RM3 juta diperuntukkan kepada JKM untuk pembelian makanan teknologi retort bagi kegunaan mangsa banjir dalam tempoh 24 jam pertama pembukaan pusat pemindahan sementara (PPS).

"Selain itu, 5,167 pegawai dan kakitangan sedia digerakkan pada bila-bila masa dengan dibantu 157 kaunselor dan 864 pasukan sokongan psikologi (PST)," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas lawatan ke Depoh Simpanan Keperluan Bencana di Taman Kemumin, Pengkalan Chepa di sini, hari ini yang turut disertai Timbalan Menterinya, Datuk Seri Noraini Ahmad dan Pengarah JKM Kelantan, Said Sidup.

Nancy berkata, bagi melancarkan operasi di PPS, seramai 8,543 sukarelawan JKM turut sedia digerakkan bersama rakan strategik daripada agensi kerajaan dan swasta termasuk Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Yayasan Petronas, Yayasan Sime Darby dan Gardenia.

"JKM mempunyai lapan depoh, 137 stor negeri/daerah, 60 mini depoh kontena dan 580 pangkalan hadapan yang menempatkan keperluan asas mangsa bencana.

"Kementerian juga menyediakan 8,481 PPS di seluruh Malaysia yang mampu menampung 2.15 juta penduduk pada satu-satu masa," katanya memaklumkan 5,063 PPS adalah sekolah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Disember 2023 @ 5:56 PM