PENGARAH JKM Negeri Kelantan, Said Sidup melawat mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Tinggi di Rantau Panjang, 20 Disember lalu. FOTO Nor Fazlina Abdul Rahim
PENGARAH JKM Negeri Kelantan, Said Sidup melawat mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Tinggi di Rantau Panjang, 20 Disember lalu. FOTO Nor Fazlina Abdul Rahim
Saiful Haizan Hasam


Kuala Lumpur: Seramai 114,280 mangsa banjir di seluruh negara ditempatkan di 771 Pusat Pemindahan Sementara (PSS) kelolaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi tempoh 17 Disember lalu sehingga semalam.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, ia membabitkan 31,921 keluarga mangsa dan tidak termasuk keluarga tidak berpindah ke PPS.

Beliau berkata, lebih daripada 3,000 pegawai JKM ditugaskan untuk memastikan penempatan dan kebajikan penghuni PPS terurus serta terjaga makan minum walaupun 135 daripada mereka turut menjadi mangsa banjir.

"Lebih RM35 juta dibelanjakan JKM bagi penyediaan barangan keperluan asas seperti gebar selesa, tikar dan pelapik lantai, selimut, tuala mandi, kain pelikat dan batik, kit kebersihan diri dan lain-lain keperluan.

"Lebih 31,921 unit khemah lipat (C-tent) turut digunakan bagi memberi keselesaan kepada keluarga di PPS. JKM turut menyediakan makanan bermasak di setiap PPS mengikut bilangan mangsa termasuk petugas sepanjang tempoh mangsa berada di PPS," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kerajaan mengazetkan sebanyak 6,470 PPS yang boleh menempatkan 1.5 juta orang pada satu-satu masa sebagai penempatan sementara mangsa bencana di seluruh negara.

Siti Zailah, berkata seramai 1,500 sukarelawan kaunselor yang berdaftar dengan Lembaga Kaunselor Malaysia digerakkan untuk menjalankan intervensi psikososial kepada mangsa bencana.

Beliau berkata, kementerian melalui Jabatan Pembangunan Wanita turut menggerakkan Skuad Waja yang memiliki keahlian berdaftar seramai 100,200 untuk turun padang membantu mangsa bencana daripada aspek sokongan emosi dan pembersihan rumah.

Menurutnya, JKM dengan kerjasama strategik Khidmat Malaysia dan Majlis Belia Negara (MBN) turut menghantar lebih 10,000 orang sukarelawan ke negeri terbabit banjir.

"Kementerian melalui JKM membantu mengumpul dan mengatur gerak sukarelawan berminat untuk membantu pemulihan pasca banjir seperti pembersihan rumah, surau, masjid dan lain-lain.

"Setiap kumpulan sukarelawan atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) boleh menghubungi Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah bagi mendapatkan lokasi bersesuaian.

"Kehadiran secara berkumpulan lebih diutamakan dalam pelaksanaan kerja ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Disember 2021 @ 12:52 PM