Rohani merasmikan program jelajah di Kompleks Yayasan Kemiskinan Kelantan di Kota Bharu hari ini. FOTO Fathil Asri
Rohani merasmikan program jelajah di Kompleks Yayasan Kemiskinan Kelantan di Kota Bharu hari ini. FOTO Fathil Asri
Muhamaad Razis Ismail

KEMENTERIAN Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan menempatkan kumpulan kaunselor asas di setiap pusat pemindahan sementara (PPS) untuk mengatasi masalah kemurungan dalam kalangan mangsa banjir.

Menterinya Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, usaha itu adalah langkah menambah baik pengurusan bantuan banjir di pusat pemindahan.

Katanya, kini lebih 5,000 kaunselor asas sudah dilatih KPWKM setiap tahun untuk membantu mangsa banjir di 5,208 PPS di seluruh negara.

"Di PPS, segala kemudahan mencukupi, namun saya bercakap dengan mangsa dan nampak air muka murung. Saya merasakan belum lengkap yang kami buat.

"Jadi saya tambah baik dengan menempatkan kaunselor dibantu kaunselor asas untuk membantu mangsa dalam menghadapi bencana banjir.

"Di Kelantan, ada 300 kaunselor asas untuk membantu mangsa banjir ini," katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Jelajah #Negaraku_KeluargaBahagia_KPWKM di Zon Timur di Kompleks Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK) di Kota Bharu, hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kok Lanas Datuk Md Alwi Che Ahmad.

Rohani berkata, pihaknya juga sudah bersiap sedia untuk menghadapi musim tengkujuh di seluruh negara.

"Kita sudah menjalankan program simulasi di setiap negeri untuk memastikan pegawai dan kakitangan kita sentiasa bersiap siaga dalam menghadapi segala kemungkinan banjir," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Oktober 2017 @ 3:11 PM