TUBUH lebih sesuai menggunakan gula garam.
TUBUH lebih sesuai menggunakan gula garam.
Nurul Husna Mahmud


IBARAT sikat yang membersihkan kulit mati atau kotoran dari permukaan kulit kepala, fungsi lulur (scrub) adalah membersihkan wajah dari noda kulit mati yang kusam.

Umumnya ada dua jenis lulur yang digunakan meluas di spa atau salun kecantikan iaitu lulur gula dan lulur garam.

Kedua-duanya memiliki keunikan tersendiri sebagai pembersih kulit yang unggul, namun tidak ramai jelas penggunaannya.

Sama ada lulur gula atau garam, setiap satunya memiliki kemampuan berbeza dalam mengeksfoliasi, melembapkan dan merangsang sel kulit.

Memetik perkongsian Pakar Stem Cell dan Perubatan Regeneratif, Dr Patricia Lukas Goentoro dalam satu portal kesihatan, penggunaan lulur pada umumnya untuk kulit menggelupas. Kulit mati disingkirkan dan membantu pertumbuhan kulit baru lebih mulus serta berseri.

"Gula dan garam antara bahan pengelupasan alami digunakan untuk menyingkirkan kulit mati. Walaupun fungsi sama, tetapi keberkesanan dan peranannya berbeza.

"Lulur gula lebih efektif untuk pengelupasan kulit wajah kerana teksturnya lebih lembut bagi bahagian kulit yang nipis.

KULIT muka perlukan lulur gula.
KULIT muka perlukan lulur gula.

"Butiran gula yang halus juga membantu melembapkan dan tidak akan menghilangkan minyak semula jadi kulit," katanya.

Jika kulit sensitif dan terlalu nipis, pakar itu menyarankan penggunaan gula perang kerana tekstur atau butir gula berkenaan lebih halus dan lembut.

Lulur gula dan garam juga memiliki perbezaan dari segi penjagaan kelembapan kulit. Dikatakan lulur gula memiliki kelebihan kerana ia humektan semula jadi.

Humektan merujuk kepada zat yang mampu menarik air dan kelembapan dari luar ke dalam lapisan kulit.

Penggunaan lulur gula pada wajah membantu penyerapan air dan kelembapan dari permukaan sekitar kulit

serta 'menguncinya' ke dalam kulit. Kulit menjadi lebih gebu dan sihat.

Sementara lulur garam, kelebihan bahan semula jadi itu membantu kulit lebih berseri. Ia didorong urutan lulur pada kulit bagi membantu melancarkan aliran darah di bawah permukaan kulit. Dengan itu, kulit menjadi lebih segar dan berkilau.

Bagi kemampuan merangsang sel kulit, kedua-duanya dikatakan boleh memberi kesan baik. Namun lulur garam dikatakan memberi kesan lebih cepat kerana peranannya dapat melancarkan aliran darah di bawah kulit.

PENGGUNAAN pupur gula atau garam berbeza.
PENGGUNAAN pupur gula atau garam berbeza.

Darah ialah ejen 'pengangkutan' nutrisi diperlukan tubuh dan apabila lulur garam dapat melancarkan aliran darah bermaksud darah membawa nutrisi yang diperlukan kulit untuk membentuk sel-sel baru.

Selepas mengenali fungsi kedua-dua pupur terbabit, laras penggunaan mengikut keperluan bahagian kulit.

Lulur garam adalah pilihan terbaik untuk membersihkan badan, sebab butir yang kasar mampu membantu proses pengelupasan kulit badan yang tebal secara efektif.

Sementara itu, kulit wajah yang nipis dan sensitif sebaiknya menggunakan lulur gula yang lebih lembut.

Baik menggunakan lulur gula ataupun garam, ia mesti tidak menyebabkan iritasi pada kulit wajah.

Andai ia berlaku, hentikan pemakaian lulur terbabit dan dapatkan nasihat pakar perubatan atau perunding estetik yang bertauliah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 April 2024 @ 6:31 AM