FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
BERNAMA

Kuala Terengganu: Proses agihan barangan makanan dan keperluan asas ke semua lokasi pangkalan hadapan dan mini depoh di pusat pemindahan sementara (PPS) seluruh Terengganu dijangka selesai hujung bulan ini.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Terengganu Mazura Ngah Abdul Manan berkata proses agihan barangan untuk persediaan menghadapi banjir mula dibuat awal bulan ini dengan bantuan pelbagai agensi termasuk Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

"Di Terengganu kita ada sebuah stor utama di Marang, stor daerah di pejabat JKM daerah (lapan buah), pangkalan hadapan (152 buah) dan mini depoh (12 buah).

"Kita dah selesai dengan semua agihan makanan di semua tempat, cuma tinggal sedikit sahaja keperluan asas seperti selimut dan khemah untuk dihantar ke Pulau Perhentian dan Pulau Redang minggu hadapan," katanya ketika ditemui pada program penghantaran barangan makanan ke pangkalan hadapan Pulau Redang di Jeti Jabatan Laut Malaysia di sini, hari ini.

Sebanyak 4.6 tan stok makanan seperti beras, sardin, gula dan makanan kering dihantar ke Pulau Redang yang dijangka mampu menampung keperluan penduduk dalam tempoh seminggu sekiranya terputus hubungan.

Mazura berkata setelah selesai proses penghantaran bekalan, pihaknya akan memberi fokus terhadap persediaan petugas di 594 PPS seluruh negeri awal bulan depan.

Katanya setakat ini, seramai 296 petugas dan 10 kaunselor JKM seluruh negeri telah dilatih dan sedia untuk berkhidmat pada bila-bila masa jika berlaku bencana banjir.

"Seramai 296 petugas ini akan betul-betul fokus kepada operasi banjir di PPS. Mereka akan dibantu oleh sukarelawan JKM yang sudah siap siaga.

"Selain itu, kita juga telah mempersiapkan petugas dengan kursus dan simulasi banjir yang diadakan oleh agensi keselamatan. Ia sebagai langkah berjaga-jaga dan kita ambil iktibar daripada bencana banjir luar jangka yang berlaku awal tahun ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Oktober 2022 @ 1:13 PM