SITI Hajar menunjukkan kebolehan memanjat pokok dengan ketinggian lebih 20 meter.  FOTO Hazreen Mohamad
SITI Hajar menunjukkan kebolehan memanjat pokok dengan ketinggian lebih 20 meter. FOTO Hazreen Mohamad
Muhamaad Razis Ismail


Ketangkasan dan kepantasan memanjat pokok hujan-hujan yang berketinggian lebih 20 meter di Taman Putra Perdana, Putrajaya baru-baru ini pastinya membuat sesiapa sahaja kagum dengan kemampuan dua wanita ini.

Mereka antara peserta negara yang menjalani latihan ke Asia Pacific Tree Climbing Championship (APTCC) 2024 anjuran Persatuan Arborist Malaysia (PArM) bersama Perbadanan Taman Negeri Pahang yang disokong Kementerian Belia dan Sukan yang berlangsung di Royal Pahang Golf Club, Kuantan Pahang bermula 25 hingga 28 April ini.

Dua daripada tujuh peserta ini adalah suri rumah, Siti Hajar Mohtar, 45, dan akauntan, Nur Hamizah Ahmad, 30, yang bersaing bagi kategori wanita dengan peserta antarabangsa lain termasuk dari Australia, New Zealand dan Jepun untuk menempah tiket ke kejohanan dunia.

SITI Hajar dan Nur Hamiza (empat kanan) bersama pasukan Malaysia Tree Climbing. FOTO Hazreen Mohamad
SITI Hajar dan Nur Hamiza (empat kanan) bersama pasukan Malaysia Tree Climbing. FOTO Hazreen Mohamad

Siti Hajar masih aktif dalam sukan memanjat pokok sehingga kini dan baginya usia bukan penghalang.

Ibu kepada empat cahaya mata itu berkata, minat terhadap aktiviti lasak termasuk memanjat pokok bermula pada usianya lapan tahun lagi.

Akuinya, dia teruja dapat menyaksikan panorama indah dari atas pokok dan berpeluang melihat dengan lebih dekat kehidupan lain yang berada di atas pokok.

"Selain itu, arwah ayah adalah seorang pembuat gasing dan produk kraf kayu. Pembabitannya itu membuatkan saya lebih minat untuk mendalami dunia mengenai pokok.

"Minat terhadap pokok diteruskan dengan mengikuti aktiviti memanjat pokok bersama rakan-rakan dalam persatuan secara santai. Selepas mendapat dorongan rakan, saya mula mencabar diri dengan menyertai Kejohanan Memanjat Pokok Malaysia (MTCC) bermula pada tahun 2015 dan yang terbaru pada tahun 2023 anjuran PArM.

 SITI Hajar dan Nur Hamizah (kiri) . FOTO Hazreen Mohamad
SITI Hajar dan Nur Hamizah (kiri) . FOTO Hazreen Mohamad

"Tidak dinafikan, saya memperoleh pelbagai pengalaman yang menarik sepanjang menyertai pertandingan ini. Bagi saya, menang atau kalah adat pertandingan dan ia tidak pernah melemahkan atau mematahkan semangat untuk terus bertanding kerana setiap pertandingan memberi pengalaman serta persaingan yang berbeza," katanya.

Johan MTCC 2015 itu berkata, sukan ini memerlukan kemahiran dan perincian yang tertentu membabitkan stamina, kekuatan otot, daya tahan, keupayaan untuk berfikir dan membuat keputusan dengan tepat dalam situasi yang tidak stabil.

"Sukan memanjat pokok ini sangat menarik kerana ia memberikan pelbagai ilmu tambahan yang sangat berguna kepada seseorang. Contohnya, seseorang itu perlu kenal dan tahu jenis-jenis ikatan untuk memastikan dirinya bersama barang atau peralatan selamat dan tidak jatuh. Selain itu, jenis tali yang digunakan juga perlu diambil perhatian.

"Pada masa sama, pemanjat perlu menguasai teknik-teknik terkini supaya dapat naik dan turun daripada pokok dengan lebih pantas dan efisien. Kebolehan memanjat pokok dapat digunakan dalam keadaan yang memerlukan

"Keselamatan dan memastikan tahap kesihatan dalam keadaan yang baik juga perlu dititik beratkan," katanya.

Sementara itu, Nur Hamizah berkata, pembabitannya dengan sukan memanjat pokok secara serius bermula sejak 2016 ketika sedang menjalani latihan industri.

"Saya bermula sebagai pasukan teknikal untuk acara MTCC 2016 di Melaka. Saya turut terbabit dalam bidang pengurusan mengendalikan acara memanjat pokok di peringkat tempatan dan antarabangsa, antaranya 2nd MTCC yang dianjurkan PArM.

"Pada 2023, saya mula mencabar diri untuk menjadi salah seorang atlet memanjat pokok di dalam kejohanan terbabit dan berjaya mendapat tempat kedua," katanya.

Bagi anak bongsu daripada tiga beradik ini, aktiviti memanjat pokok mempunyai keunikan tersendiri sehingga sanggup berulang alik dari Johor Bahru, Johor ke Putrajaya untuk menjalani latihan pada setiap hujung minggu.

KOMITED dengan latihan teknikal yang dilakukan pada setiap hujung minggu.  FOTO Hazreen Mohamad
KOMITED dengan latihan teknikal yang dilakukan pada setiap hujung minggu. FOTO Hazreen Mohamad

"Setiap kali saya berada di atas pokok, saya akan merasa puas terhadap diri sendiri kerana saya berjaya mengatasi perasaan takut dan gayat yang ada dalam diri sendiri yang hanya kita sendiri boleh melawannya tanpa bantuan orang lain," katanya.

Dia berkata, antara kriteria penting untuk terbabit dalam sukan ini adalah untuk mempunyai kekuatan fizikal, ketahanan mental dan kesabaran yang tinggi untuk mendapatkan kemahiran teknikal yang baik.

"Oleh itu, rutin harian membabitkan latihan kekuatan, kelincahan dan ketahanan termasuk larian, bersenam di gimnasium dan berenang amat penting. Pada masa sama, latihan teknikal juga perlu dititik beratkan supaya dapat memanjat dengan teknik yang betul dan sentiasa dalam posisi yang selamat di atas pokok.

"Saya bersyukur kerana PArM menyediakan jadual rutin yang baik serta menyediakan elaun untuk kami sepanjang latihan dijalankan," katanya.

Ditanya berkenaan perancangan masa hadapan, dia berhasrat ingin terus mencabar diri dalam sukan memanjat pokok dengan menyertai lebih banyak pertandingan dari semasa ke semasa.

"Saya berharap usaha ini dapat menjadi inspirasi kepada wanita lain dan kesedaran berkenaan untuk terbabit dengan sukan ini.

"Kelebihan wanita yang terbabit dalam sukan memanjat pokok termasuklah kecekalan mental, ketabahan dan kelembutan dalam memanfaatkan tenaga. Wanita juga boleh memberikan perspektif yang unik dalam sukan ini," katanya.

Di samping itu, terdapat lima acara yang dipertandingkan di APTCC iaitu 'Ariel Rescue,' 'Work Climb,' 'Ascent Event,' 'Belayed Speed Climb' dan 'Throwline.'

Peserta dengan jumlah markah tertinggi akan ke peringkat final iaitu 'Master Challenge' yang memerlukan mereka melakukan semua lima aktiviti ini pada sebatang pokok. Peserta yang mendapat markah tertinggi akan diumumkan sebagai pemenang.

Oleh itu, bukan calang-calang individu yang dapat melakukan aktiviti lasak ini kerana memerlukan keberanian, kemahiran dan teknik yang betul untuk memanjat pokok tinggi dan besar dalam masa singkat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 April 2024 @ 7:01 AM