Pasukan polis menyekat penunjuk perasaan yang menyerbu bangunan Capitol di Washington, Amerika Syarikat. Foto AFP
Pasukan polis menyekat penunjuk perasaan yang menyerbu bangunan Capitol di Washington, Amerika Syarikat. Foto AFP
BERNAMA

Washington: Bangunan Capitol Amerika Syarikat diserbu penunjuk perasaan semalam, mencetuskan ketegangan dan memaksa pengiraan undi elektoral pilihan raya Presiden 2020 dihentikan, lapor Agensi Berita Xinhua.

Anggota Parlimen dilaporkan terpaksa dipindahkan, ketika penunjuk perasaan yang menyokong Presiden Donald Trump menyerbu masuk ke bangunan itu.

"Bangunan Capitol: terdapat ancaman keselamatan, tidak dibenarkan masuk atau keluar, jauhkan diri dari tingkap, pintu. Jika di luar, cari perlindungan," memetik Polis Capitol.

Anggota Kongres Nancy Mace dari Carolina Selatan, menulis di Twitter "Baru saja mengosongkan pejabat saya di Cannon kerana ancaman. Sekarang kami melihat penunjuk perasaan menyerang Polis Capitol," tulisnya.

"Ini salah...saya sedih dengan apa yang berlaku di negara kita hari ini."

Trump di Twitternya menulis, "Ssemua orang di Capitol diminta bertenang."

"Tidak perlu keganasan. Hormati undang-undang, lelaki dan wanita hebat kami yang berpakaian biru. Terima kasih!"

Naib Presiden Mike Pence menerusi akaun Twitternya berkata, "Keganasan dan kerosakan yang berlaku di Capitol perlu dihentikan sekarang."

"Sesiapa yang terlibat mesti menghormati pegawai penguat kuasa undang-undang dan segera meninggalkan bangunan itu."

Dalam satu kenyataan bersama, Speaker Kongres Nancy Pelosi dan Ketua Minoriti Senat Chuck Schumer, ahli Demokrat kongres mahu "Presiden Trump mengarahkan semua penunjuk perasaan segera meninggalkan Capitol."

Seluruh Pengawal Negara DC dikerah dan diarah mengawal keadaan, menurut ketua jurucakap Pentagon Jonathan Hoffman.

Virginia turut menghantar 200 pasukan dan menggerakkan unit pengawal.

Datuk Bandar DC Muriel Bowser pula mengeluarkan perintah berkurung di seluruh bandar bermula 6 petang semalam hingga 6 pagi hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 January 2021 @ 10:30 AM