Wajah 10 individu yang dikehendaki FBI selepas terbabit dalam serangan di bangunan Capitol. FOTO Agensi
Wajah 10 individu yang dikehendaki FBI selepas terbabit dalam serangan di bangunan Capitol. FOTO Agensi
Agensi

Washington: Biro Siasatan Persekutuan (FBI) mendedahkan video baharu suspek yang terbabit dalam serangan di bangunan Capitol, pada 6 Januari lalu.

CNBC melaporkan, pihak berkuasa meminta kerjasama orang ramai mengenal pasti identiti 10 individu yang terbabit dalam serangan berbahaya itu.

Timbalan Pengarah Pejabat FBI Washington, Steven D'Antuono berkata, sebanyak 10 video baharu menunjukkan aksi keganasan di bangunan Capitol termasuk perusuh yang mengayunkan tiang, melemparkan objek, menyembur bahan kimia serta menanggalkan topeng gas yang melindungi anggota polis.

"Individu itu dirakam dalam video melakukan jenayah mengerikan terhadap mereka yang bertarung nyawa melindungi rakyat Amerika," katanya.

Untuk rekod, pihak FBI menahan lebih 300 individu yang dikaitkan dengan kekecohan itu sejak 6 Januari lalu, dengan 65 daripadanya dituduh menyerang pegawai penguatkuasa undang-undang.

"Kami tahu ia akan menjadi keputusan yang sukar untuk melaporkan maklumat mengenai keluarga, kawan atau rakan sekerja. Namun, ia adalah tindakan betul yang perlu dilakukan dan pihak FBI memerlukan bantuan secara berterusan untuk mengenal pasti identiti suspek," katanya.

Dalam rusuhan itu, lima individu mati termasuk pegawai polis Capitol, Brian Sicknick.

Rusuhan itu bermula selepas aksi tunjuk perasaan yang didorong oleh bekas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump terhadap penyokongnya berjalan ke Capitol bagi memprotes kemenangan pilihan raya oleh Joe Biden.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Mac 2021 @ 12:43 PM