PELOSI (kiri) sedia mulakan pendakwaan pecat Trump. FOTO AFP
PELOSI (kiri) sedia mulakan pendakwaan pecat Trump. FOTO AFP
AFP

Washington: Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS), Nancy Pelosi berkata, dia akan meneruskan usaha menyingkirkan Presiden AS, Donald Trump daripada jawatannya.

Ia susulan serangan penyokong Trump ke atas AS Capitol pada beberapa hari terakhir pentadbiran presiden itu.

Pelosi yang juga anggota Demokrat kanan di Kongres, berkata, berkata satu usul mengikut pindaan ke-25 dalam Perlembagaan AS akan dibuat di Dewan Perwakilan hari ini, bagi menggesa Kabinet menyingkirkan Trump kerana tidak layak untuk memegang jawatan itu.

Jika Naib Presiden AS, Mike Pence tidak bersetuju, kata Pelosi, mereka akan meneruskan usaha itu menerusi undang-undang pemecatan di Dewan Perwakilan.

"Dalam usaha melindungi Perlembagaan dan Demokrasi AS, kami akan bertindak dengan segera kerana Presiden AS ini memberi ancaman kepada kedua-duanya.

"Semakin hari, serangan berterusan terhadap demokrasi yang dilakukan Presiden AS ini semakin memuncak, sekali gus memaksa tindakan segera," katanya, semalam.

Trump pernah dikenakan pertuduhan untuk pemecatan di Dewan Perwakilan yang dikawal Demokrat pada Disember 2019 kerana menekan pemimpin Ukraine untuk mencari keburukan Joe Biden.

Bagaimanapun, Presiden AS itu dibebaskan daripada pertuduhan itu selepas ia dibawa ke Senat yang dikuasai Republikan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 January 2021 @ 12:27 PM