Penyokong Trump berhadapan dengan pihak berkuasa di pekarangan bangunan Capitol, Washington. Foto AFP
Penyokong Trump berhadapan dengan pihak berkuasa di pekarangan bangunan Capitol, Washington. Foto AFP
AFP

Los Angeles: Wanita yang maut dipercayai terkena tembakan dalam rusuhan keganasan di bangunan Capitol, Washington semalam, adalah penyokong tegar Presiden Donald Trump.

Mangsa dikenali sebagai Ashli ​​Babbitt, adalah veteran tentera dan sudah berkhidmat di Tentera Udara Amerika Syarikat (AS), menurut laporan akhbar tempatan.

"Dia adalah penyokong kuat Presiden Trump, " lapor stesen TV San Diego, KUSI, yang memetik suami wanita itu.

Laporan itu turut mengatakan wanita itu berasal dari San Diego, California.

Polis Washington mengesahkan kematian seorang wanita tetapi belum mengenal pasti mangsa atau tidak memberikan perincian mengenai keadaan penembakan itu, yang kini dalam siasatan.

Wanita itu dikatakan terkena tembakan di tengah-tengah kejadian rusuhan dalam bangunan Capitol, selepas penyokong Trump yang melakukan tunjuk perasaan bertempur dengan anggota keselamatan.

Dia meninggal dunia di tempat kejadian selepas parah akibat ditembak, kata polis Washington tanpa mengulas lanjut.

Saluran TV Fox 5 melaporkan Babbitt memiliki perniagaan di San Diego dengan suaminya, yang tidak datang bersamanya ke Washington.

"Saya benar-benar tidak tahu mengapa dia memutuskan untuk melakukan ini," kata ibu mentuanya kepada stesen televisyen itu.

Babbitt mengenal pasti dirinya sebagai veteran di akaun Twitternya dan menyatakan cintanya kepada AS dan baru-baru ini mengulang ciap mesej untuk menyokong Trump.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 January 2021 @ 1:59 PM