Biden (kiri) dan Trump. Foto AFP
Biden (kiri) dan Trump. Foto AFP
BERNAMA

Washington: Bakal Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden menyelar tindakan 'pemberontakan' pada Rabu di Capitol AS, selepas beberapa penyokong pemimpin Republik, Donald Trump merempuh masuk ke bangunan itu, memaksa pengiraan undi pilihan raya dihentikan, lapor Agensi Berita Xinhua.

"Ini bukan protes, ini pemberontakan," kata Biden di Wilmington, Delaware.

"Bukan juga perbezaan pendapat tetapi kekacauan. Ia juga satu hasutan."

Pemimpin Demokrat itu turut meminta Trump bercakap di televisyen sebagai memenuhi ikrarnya dan mempertahankan Perlembagaan dan menuntut tindakan itu dihentikan.

Trump tidak mengakui kekalahannya kepada Biden dalam persaingan presiden 2020 dan menuduh wujudnya 'penipuan' pada pilihan raya itu, yang ditolak oleh beberapa peringkat mahkamah AS berikutan kekurangan bukti.

Dalam satu klip video yang disiarkan di Twitter berikutan situasi huru-hara itu, Trump menggesa penyokongnya 'pulang' selepas demonstrasi.

"Pulanglah sekarang. Kita perlu berdamai," kata presiden. "Kita memiliki undang-undang dan perlu mematuhinya. Kita harus menghormati kedaulatan undang-undang. Kita tidak mahu ada yang cedera."

Awal hari ini, Kongres AS secara bersama bersidang untuk mengesahkan kemenangan Biden, tetapi Dewan dan Senat, yang secara terpisah membahaskan bantahan undian pilihan raya Arizona, terpaksa dihentikan apabila penunjuk perasaan merempuh Capitol.

Pertelingkahan antara pegawai penguat kuasa undang-undang dan penunjuk perasaan menyebabkan kecederaan pada kedua-dua pihak.

Menurut polis, seorang wanita meninggal dunia kerana ditembak di pekarangan Capitol.

Pegawai penguat kuasa pada Rabu malam mengumumkan bangunan Capitol AS dalam keadaan selamat, selepas perintah berkurung dilanjutkan sehingga Khamis pagi.

Sementara itu, polis mengusir penunjuk perasaan yang berada di Capitol Hill.

Speaker Dewan Nancy Pelosi, dalam sepucuk surat kepada anggota Kabinet berkata, Kongres akan meneruskan pengiraan undi pilihan raya pada Rabu malam selepas Capitol selamat untuk digunakan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 January 2021 @ 12:12 PM