DONALD TRUMP
DONALD TRUMP
AFP

Washington: Ribuan penyokong Donald Trump memenuhi jalan di bandar ini bagi menuntut pemimpin itu diberi tempoh 'empat tahun lagi' untuk menjadi Presiden.

Penyokong yang memakai topi merah berarak di jalan raya sambil mendakwa berlaku penipuan besar-besaran dalam keputusan pilihan raya presiden dan menafikan mereka mengundi calon Demokrat, Joe Biden.

Kumpulan terbabit tetap dengan pendirian Trump, calon Republikan menang di sebalik keputusan Mahkamah Agung pada Jumaat lalu menolak tuntutan penyokong Trump untuk membatalkan kemenangan Biden dalam pilihan raya Presiden pada 3 November lalu.

Ribuan penyokong Trump berkumpul di sekitar Freedom Plaza, beberapa blok dari Rumah Putih namun jumlahnya dilihat lebih kecil berbanding perhimpunan sebulan lalu bilangannya dianggarkan sekitar 10,000 orang.

"Kami tidak akan menyerah kalah," kata Luke Wilson, seorang penunjuk perasaan dari Idaho.

"Saya percaya berlaku ketidakadilan terhadap rakyat Amerika," tambah Dell Quick, seorang lagi peserta demonstrasi.

Semua negeri kini mengesahkan kemenangan Biden, memberikan 306 undi elektoral kepada Demokrat dan 232 undi kepada Trump.

Penunjuk perasaan terus mendakwa berlaku penipuan dalam pilihan raya Presiden, seperti yang Trump nyatakan berulang kali sebelum ini.

Mereka percaya berlaku campur tangan asing selain menuduh penggunaan perisian yang hanya menghapuskan jutaan undi menyokong Republikan dalam kertas undi yang sama dan bukan kepada Demokrat.

Sementara itu, empat orang dilaporkan ditikam dan satu tembakan dilepaskan ketika tunjuk perasaan yang berlaku di banyak tempat.

Perselisihan berlaku di banyak tempat antara penunjuk perasaan dan penunjuk perasaan yang tampil mengecam Trump yang kalah dalam pilihan raya 3 November kepada calon Demokrat, Joe Biden.

Polis Negeri Washington dalam satu ciapan lewat malam semalam menyatakan bahawa penembakan berlaku selepas pertempuran berhampiran bangunan ibu Capitol di Olympia, dan seorang suspek sudah ditahan.

Di ibu negara Amerika Syarikat, ketua komunikasi Jabatan Bomba dan Perkhidmatan Perubatan, Doug Buchanan memberitahu AFP empat orang ditikam dan kini dimasukkan ke hospital 'dengan kecederaan serius.'

The New York Times melaporkan bahawa 23 orang sudah ditangkap sepanjang hari.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Disember 2020 @ 6:30 AM