BENG Choo dilantik Pengerusi JPS.
BENG Choo dilantik Pengerusi JPS.
Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menubuhkan Jawatankuasa Pertikaian Sukan (JPS) yang akan berperanan mendengar dan menyelesaikan pertikaian oleh mana-mana anggota badan sukan atau badan sukan itu sendiri di bawah seksyen 24, Akta 576.

Menurut kenyataan dikeluarkan KBS, JPS adalah jawatankuasa bebas bertanggungjawab mendengar dan menyelesaikan pertikaian apabila sesuatu pertikaian badan sukan tidak dapat diselesaikan di peringkat dalaman.

"KBS sentiasa dan akan terus mengambil inisiatif dalam menambah baik tatakelola badan sukan supaya lebih telus, berintegriti dan professional," kata kementerian itu.

Ujar KBS, JPS akan dipengerusikan Setiausaha Agung Konfederasi Besbol-Sofbol Sedunia dan Presiden Sofbol Asia, Datuk Low Beng Choo.

"JPS turut dianggotai oleh Ahli Lembaga Pengurusan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) dan Naib Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh Gill, Dekan Fakulti Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Jady @ Zaidi Hassim, Profesor di Universiti Putra Malaysia (UPM), Datuk Dr S Shamala dan Naib Presiden Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM), Sharon Wee.

"JPS akan menggunakan Peraturan-Peraturan Pembangunan Sukan (Tatacara Dalaman Bagi Penyelesaian Pertikaian Dalam Badan Sukan)2022.

"Sehubungan itu, kementerian menggubal Peraturan-Peraturan Pembangunan Sukan (Jawatankuasa Pertikaian Sukan) 2022 bermatlamat memperkasakan badan sukan dalam mengurus dan menyelesaikan pertikaian dalaman badan sukan, termasuklah atlet dengan telus, adil dan pantas tanpa sebarang campur tangan pihak kerajaan, atau KBS, terutamanya pembabitan menteri.

"Ini bermaksud menteri tidak terbabit langsung dalam apa-apa prosiding mengenai pertikaian dalaman badan sukan. Menteri hanya terbabit sebagai platform rayuan, sekiranya pihak bertelagah tidak berpuas hati dengan keputusan JPS," katanya.

Tambah KBS, antara tugas dan tanggungjawab JPS adalah mendengar dan memberi pandangan terhadap isu-isu berkaitan pertikaian dalaman badan sukan yang dirujuk jawatankuasa berkenaan.

"Selain itu, JPS juga akan menyelesaikan aduan pertikaian yang dirujuk oleh mana-mana anggota sesuatu badan sukan atau badan sukan; mengenal pasti dan mengesyorkan langkah-langkah dan tindakan bagi menyelesaikan pertikaian dalam badan sukan; mengesyorkan suatu keputusan muktamad setelah mendengar aduan-aduan pertikaian dibentangkan sepanjang sesi pendengaran berlangsung dan mengeluarkan suatu keputusan secara bertulis kepada kedua-dua pihak bertikai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Julai 2023 @ 5:46 PM