Setiausaha JPS, Suhardi Aliass
Setiausaha JPS, Suhardi Aliass
Amirul Fazli Zulkafli


Shah Alam: Jawatankuasa Pertikaian Sukan (JPS) akan bertindak sebagai badan alternatif dalam menyelesaikan sesuatu permasalahan yang dikemukakan oleh mana-mana persatuan dengan lebih telus dan cepat.

Setiausaha JPS, Suhardi Alias berkata, sesi 'Town Hall' yang diadakan hari ini bersama persatuan kebangsaan serta negeri itu bertujuan untuk bertukar pandangan sebelum JPS merangka satu garis panduan yang khusus tentang tatacara untuk mendengar kesemua permasalahan dari persatuan.

Jelas Suhardi, mengikut rekod ada beberapa permasalahan yang timbul sebelum ini tidak dapat diselesaikan dengan baik sehingga berlarutan dan memberi impak negatif kepada persatuan sukan.

Maka disebabkan itu, JPS akan bertindak secara telus bagi memastikan keadilan terhadap sesuatu kes itu dapat diselesaikan dengan cara terbaik.

"JPS bukan orang tengah sebaliknya satu badan bebas yang membolehkan persatuan itu mempunyai alternatif lain untuk menyelesaikan pertikaian dalaman mereka.

"Ahli panel JPS terdiri daripada kalangan profesional dan bebas seterusnya membuat keputusan berdasarkan hasil siasatan dan maklumat diterima serta dokumen yang diadukan oleh pihak berselisih pendapat.

"Sebelum ini, jika ada masalah, sama ada mereka (persatuan) menyelesaikan secara dalaman namun masalah itu berpanjangan dan kadang kala terpaksa menyelesaikan (masalah) melalui mahkamah, " katanya ketika ditemui pada sesi Town Hall hari ini.

Selain itu, Suhardi memaklumkan ketika ini pihak mereka menerima beberapa aduan dan menyiasat secara teliti sama ada menepati syarat atau sebaliknya sebelum dibawa ke peringkat seterusnya.

Untuk rekod, JPS diperkenalkan pada tahun lalu oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh bagi mendengar dan menyelesaikan pertikaian yang dirujuk anggota sesuatu badan sukan atau badan sukan itu sendiri di bawah Seksyen 24, Akta Pembangunan Sukan 1997 (Akta 576).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Februari 2024 @ 7:54 PM