MOHD Yussof ketika ditemuramah. FOTO Zuhainy Zulkiffli
MOHD Yussof ketika ditemuramah. FOTO Zuhainy Zulkiffli
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Bekas Setiausaha Agung Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Tan Sri Mohd Yussof Latiff kesal dengan tindakan Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PPS) yang meluluskan penubuhan Konfederasi Sepaktakraw Malaysia (MSC) dengan sokongan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) baru-baru ini.

Mohd Yussof berkata, tindakan itu disifatkan sebagai tidak wajar kerana ia akan merosakkan arena sukan takraw disebabkan kewujudan dua entiti yang sama dengan matlamat yang sama seperti PSM.

Katanya, tindakan Pesuruhjaya Sukan (PJS), Ibrahim Mohd Yusof itu sedikit sebanyak menjejaskan hasrat PSM bagi bergabung semula dengan Persekutuan Sepaktakraw Asia (Astaf).

"Sekiranya PSM mempunyai masalah dengan Astaf, PPS dan KBS, seharusnya mereka perlu memainkan peranan bagi membantu menyelesaikan masalah dan bukannya cuba melaga atau merosakkan pertubuhan sukan yang sudah dibentuk sejak sekian lama.

"Isu antara PSM dan Astaf juga sudah diselesaikan oleh mantan Menteri Belia dan Sukan (Datuk Seri Reezal Merican) yang mana PPS sudah bersetuju bagi menyelesaikan masalah dengan meminta PSM meminda beberapa peraturan persatuan serta melakukan AGM dan ia sudah dilaksanakan PSM.

"Namun apabila secara tiba-tiba PPS dan KBS meluluskan penubuhan MSC, saya kesal dan berasa keputusan ini tidak wajar serta tergesa-gesa.

"Saya percaya semua masalah boleh diselesaikan dengan senang, bukannya dengan menubuhkan MSC kerana perkara ini boleh diselesaikan menerusi perbincangan dengan semua pihak," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Mohd Yussof berkata, adalah wajar dan tindakan bijak sekiranya PPS dan KPS menerima pandangan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) kerana ia adalah badan induk sukan Malaysia.

Pihaknya percaya bahawa sebarang usaha bagi memastikan kecemerlangan dan kelangsungan sukan sepak takraw di Malaysia ke peringkat tertinggi adalah dengan mengekalkan gabungan PSM dan Astaf, bukannya dengan menubuhkan gabungan baharu antara MSC dan Astaf.

"Sekiranya PPS dan KBS tidak meluluskan penubuhan MSC, permohonan PSM bagi kembali menjadi ahli gabungan Astaf tidak akan ditolak dan PSM akan diterima semula sebagai ahli gabungan Astaf selepas mereka berjaya menyelesaikan denda yang diminta.

"Jika penubuhan dua entiti ini tidak diselesaikan dengan segera, ia akan memberi impak kepada sukan sepak takraw sekaligus memberi kesan negatif kepada arena sukan negara," katanya lagi.

Sehubungan itu, Mohd Yussof turut menghantar memorandum kepada badan berkaitan termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi campur tangan dalam menangani isu berkenaan, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Mac 2022 @ 7:09 PM