PENDUDUK di Kampung Tersang berdepan masalah banjir termenung menyebabkan mereka buntu memikirkan cara untuk mengeringkan air di halaman rumah. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
PENDUDUK di Kampung Tersang berdepan masalah banjir termenung menyebabkan mereka buntu memikirkan cara untuk mengeringkan air di halaman rumah. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menyediakan dua pam air di kawasan Rantau Panjang bagi menyelesaikan masalah banjir termenung di kampung terjejas.

Pengarah JPS Kelantan, Kamal Mustapha berkata, pam itu diletakkan di muara Sungai Lanchang yang berdekatan beberapa kampung termasuk Kampung Tersang.

Katanya, setakat ini pam air antara alternatif segera yang dapat mengalirkan air bertakung terus ke sungai.

"Dalam kejadian terbaharu, penduduk berdepan air bergenang selama tiga minggu dan kita mencari alternatif segera untuk mengeluarkan air.

"Penyediaan pam adalah yang paling sesuai dan dapat mengeluarkan air dari kawasan rendah terus ke Sungai Golok.

"Kebanyakan rumah sudah pulih daripada banjir namun masih ada beberapa kediaman yang masih digenangi air, jadi pam akan terus ditempatkan di sana," katanya ketika dihubungi.

Kamal berkata, dalam usaha mengurangkan risiko banjir jangka panjang, enam pintu air sudah dibina termasuk unit di bawah projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok (KESBAN).

"Pintu air ini dibuka ketika rumah penduduk dilanda banjir dan akan mempercepat proses air surut.

"JPS sentiasa peka dengan masalah dihadapi penduduk dan cuba sedaya upaya membantu mereka," katanya.

PLSB KESBAN Fasa 1 dibangunkan dengan peruntukan RM656 juta dan dijangka siap sepenuhnya pada 13 Ogos 2024.

Projek itu diselia JPS membabitkan empat skop utama iaitu Ban Banjir Sungai Golok (26.2 km), Ban Banjir Sungai Lanchang Lemal (19.84 km), Kuala Jambu Outlet Gate dan Sungai Mentua Bunding.

Kerajaan juga meluluskan peruntukan bernilai RM879 juta bagi fasa dua PLSB KESBAN yang diharap menangani isu banjir jangka panjang di Tumpat, Pasir Mas dan Rantau Panjang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 November 2022 @ 7:01 AM