Penduduk kampung membersihkan perkakasan rumah yang ditenggelami air akibat banjir kilat yang melanda Kampung Kubang susulan hujan berterusan kelmarin. FOTO AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN
Penduduk kampung membersihkan perkakasan rumah yang ditenggelami air akibat banjir kilat yang melanda Kampung Kubang susulan hujan berterusan kelmarin. FOTO AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN
Ahmad Hasbi


Nilai: Pertembungan air tiga sungai ketika hujan lebat dikenal pasti menjadi punca kejadian banjir kilat di pekan Nilai dan kawasan sekitarnya, kelmarin.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Nilai, J Arul Kumar berkata, perancangan teliti perlu dilakukan untuk menyelesaikan isu berkenaan bagi jangka masa panjang, malah beberapa tindakan sedang diambil.

"Salah satu puncanya adalah pengaliran air banyak ketika hujan dari Kolam Tadahan Air, Desa Jasmin yang bertembung dengan Sungai Batang Nilai menyebabkan air melimpah di sebelah Shell dan deretan rumah kedai di pekan Nilai.

"Oleh itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) akan menaiktaraf kolam berkenaan awal tahun depan untuk membolehkan ia menakung air dalam kuantiti paling maksimum sebelum dikeluarkan secara berperingkat ke Sungai Sekah," katanya.

Beliau berkata, satu lagi punca berlakunya banjir di kawasan pekan Nilai adalah pertembungan Sungai Batang Nilai dan Sungai Sekah di Sungai Batang Labu.

Menurutnya, Sungai Batang Labu adalah sungai besar dan apabila berlaku hujan lebat, ia tidak mampu menampung air hujan yang banyak, sekali gus menyebabkan air dari pekan Nilai melalui Sungai Sekah dan Sungai Batang Nilai tidak dapat mengalir dan berlaku banjir di pekan Nilai.

"JPS memaklumkan kerja menaiktaraf Sungai Batang Labu sudah dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan akan dilaksanakan untuk mengurangkan risiko banjir.

"JPS akan melaksanakan beberapa kerja di Sungai Batang Nilai bersebelahan dengan Taman Ros Merah untuk menghalang air sungai berkenaan memasuki kawasan perumahan itu.

"Syarikat utiliti diminta mengalihkan beberapa paip dan kabel utiliti yang menghalang aliran air di jambatan hadapan Public Bank Nilai," katanya.

Beliau berkata, pihaknya meminta Majlis Bandaraya Seremban (MBS) untuk melaksanakan kerja menaiktaraf sistem perparitan di hadapan deretan kedai di pekan Nilai supaya dapat mengurangkan risiko banjir yang sering berlaku di kawasan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Oktober 2021 @ 2:22 PM