Noorazura Abdul Rahman


Padang Serai: Ratusan keluarga yang menghuni 10 kawasan penempatan di sini, mahu kerajaan langkah penyelesaian kepada masalah banjir kilat dihadapi mereka.

Penduduk Kampung Bukit Sarang Ayam, Sungai Seluang, Taman Kancil, Sungai Karangan, Sungai Kob dan Siam mendakwa masalah itu berlaku akibat sungai berdekatan yang semakin cetek.

Abdul Mutalib Abdullah, 57, yang tinggal di Kampung Bukit Sarang Ayam berkata, rumahnya sering dilanda banjir kilat selepas air Sungai Jarak di belakang rumahnya melimpah.

"Baru dua minggu lalu, saya dan 10 keluarga di kampung ini terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS), bukan sekali tetapi dua kali.

"Banjir pertama pada 12 November lalu, rumah-rumah di sini dinaiki air sedalam 1.4 meter dan baru saja kami selesai mengemas, dua hari kemudian terpaksa pindah semula ke PPS.

"Banyak perabot dan peralatan rumah yang rosak," katanya yang bekerja sebagai pemandu lori dan mendakwa sungai itu tidak dapat menampung air dari Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP) di hulu sungai.

Katanya, pihak berkuasa ada menjalankan kerja penyelenggaraan berkala di sungai itu tetapi kurang berkesan.

Jirannya, Abdul Muhammad Mutalib, 26, berkata, banjir baru-baru ini berlaku dengan cepat sehingga dia tidak sempat mengalihkan sebahagian besar perabot di dalam rumah.

"Kami berharap pihak berkuasa akan melakukan sesuatu untuk menyelesaikan isu ini. Setiap kali hujan lebat, hati kami tak tenang tambahan pula pada waktu malam, "katanya.

Calon Perikatan Nasional (PN) kerusi Parlimen Padang Serai, Datuk Azman Nasrudin berkata, beliau akan berbincang dengan pejabat Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kulim untuk mengambil tindakan segera bagi menangani isu banjir kilat di kampung itu.

Katanya, isu banjir menjadi keutamaannya sejak dipilih sebagai Adun Lunas pada pilihan raya umum 2013.

"Kita akan minta JPS memberi perhatian khusus terhadap perkara ini terutama kawasan yang dilanda banjir kilat dua kali baru-baru ini.

"Untuk menyelesaikan isu ini secara menyeluruh kita perlu melaksanakan projek tebatan banjir menyeluruh bagi seluruh kawasan Padang Serai membabitkan Sungai Jarak dan Sungai Kulim.

"JPS menganggarkan keseluruhan projek itu menelan kos kira-kira RM400 juta dan itu memerlukan bajet daripada kerajaan Persekutuan," katanya ketika ditemui semasa kempen di Kampung Nesa di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 November 2022 @ 4:12 PM
Kanak-kanak sedang menjemur buku yang basah selepas rumah mereka dinaiki air di Kampung Bukit Sarang Ayam. FOTO Adie Zulkifli
Kanak-kanak sedang menjemur buku yang basah selepas rumah mereka dinaiki air di Kampung Bukit Sarang Ayam. FOTO Adie Zulkifli