BONGKAH batu yang diletakkan pihak hotel berhampiran bagi mengelakkan hakisan susulan keadaan cuaca tidak menentu setiap tahun di persisir pantai Batu Feringghi. FOTO BERNAMA
BONGKAH batu yang diletakkan pihak hotel berhampiran bagi mengelakkan hakisan susulan keadaan cuaca tidak menentu setiap tahun di persisir pantai Batu Feringghi. FOTO BERNAMA
Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pulau Pinang sudah menjemput pakar dan akan membuat lawatan tapak bagi mengenal pasti kaedah pembaikan di pantai awam di negeri ini.

Ia susulan laporan Harian Metro mengenai kawasan pesisir pantai Batu Feringghi di sini, dipenuhi bongkah batu yang diletak bagi menahan hakisan tebing dan membahayakan keselamatan pengunjung.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan negeri Zairil Khir Johari berkata, batu penahan hakisan itu adalah mitigasi sementara yang dibina pengurusan hotel berhampiran.

"Pada masa sama, pihak hotel berhampiran juga sudah melantik perunding bagi membuat kajian hidraulik secara menyeluruh.

"JPS Pulau Pinang juga sudah menjemput pakarnya (daripada JPS Malaysia) yang akan membuat lawatan tapak berkenaan," katanya dihubungi di sini.

Pada laporan Isnin lalu, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mendakwa pihaknya banyak menerima aduan berhubung bongkah batu berhampiran hakisan tanah itu sejak penghujung tahun lalu.

Bongkah batu itu bukan sahaja diletak di tebing bagi mengelak hakisan, tetapi turut terdapat di pesisir pantai dan boleh membahayakan nyawa pengunjung ketika mandi manda.

Hakisan pula kini membabitkan kawasan sepanjang hampir dua kilometer (km) dengan runtuhan setinggi lebih dua meter turut direkodkan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Februari 2022 @ 1:20 PM