KIPCHOGE mahu catat sejarah di Maraton Boston. FOTO AFP
KIPCHOGE mahu catat sejarah di Maraton Boston. FOTO AFP
AFP

Boston: Eliud Kipchoge semakin hampir menggapai impiannya menyertai kesemua enam maraton utama dunia apabila membuat penampilan pertama Maraton Boston ketika perlumbaan terkenal itu menyambut ulang tahun ke-10 pengeboman 2013 yang menyebabkan tiga orang terkorban.

Raja maraton Kenya itu tidak pernah berlari di Boston - perlumbaan maraton tahunan tertua di dunia yang pertama kali diadakan pada 1897 - tetapi sekarang dia bersedia mengharungi laluan berbukit 42 kilometer buat kali pertama sebagai sebahagian daripada usaha melengkapkan set kemenangan besarnya.

Juara maraton Olimpik dua kali berusia 38 tahun dan pemegang rekod dunia pernah memenangi Maraton Berlin, Tokyo, London dan Chicago dalam kariernya yang cemerlang, hanya belum beraksi di Boston dan New York sahaja.

Kipchoge mensasarkan untuk mengisi salah satu daripada lompong berkenaan apabila dia berbaris di padang maraton Boston.

Kipchoge - satu-satunya atlet lelaki yang berlari dalam jarak maraton bawah dua jam, menolak cadangan bahawa dia bercadang untuk memecahkan rekod Boston 2 jam 3 minit 2 saat (s) yang dibuat oleh rakan senegaranya, Geoffrey Mutai pada 2011.

"Saya mensasarkan kemenangan," kata Kipchoge kepada Letsrun.com dalam temu bual minggu ini apabila ditanya sama ada dia mencatatkan rekod baharu kejohanan.

Kipchoge sudah melawat laluan perlumbaan itu dan tidak terpengaruh dengan muka bumi yang beralun di kawasan Boston.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 April 2023 @ 11:29 AM