KIPCHOGE bakal membuat penampilan sulung di Maraton Boston. FOTO AP
KIPCHOGE bakal membuat penampilan sulung di Maraton Boston. FOTO AP
Reuters

London: Pemegang rekod dunia maraton dari Kenya, Eliud Kipchoge akan tampil buat kali pertama di Maraton Boston pada 17 April tahun depan.

Pelari berusia 38 tahun itu memburu kejayaan kelima di salah satu daripada enam kejuaraan utama maraton dunia.

Juara Olimpik dua kali itu sudah meraih kejayaan di Maraton London, Berlin, Chicago dan Tokyo di mana menjadi sebahagian daripada saingan utama dunia dan berkata dalam satu kenyataan bahawa dia bersedia untuk melakukan langkah seterusnya.

"Saya gembira untuk mengumumkan akan beraksi di Maraton Boston April depan.

"Episod baru dalam Kejuaraan Utama Dunia Maraton Abbott buat diri saya," katanya yang muncul juara di Olimpik Rio dan Tokyo.

Kipchoge, yang memenangi 15 daripada 17 perlumbaan maraton dalam kariernya, memecahkan rekod miliknya sendiri September lalu dengan muncul juara di Berlin melalui catatan dua jam 1 minit 09 saat (s) untuk mengurangkan separuh minit daripada rekod lama empat tahun lalu.

Dia mempunyai meraih 10 gelaran utama tetapi sebelum ini tidak mengambil bahagian di Boston dan New York.

Kipchoge adalah satu-satunya lelaki yang berlari maraton bawah dua jam apabila dia melepasi garisan penamat pada 1:59.40s di trek yang direka khas di Vienna pada 2019.

Bagaimanapun, masa itu tidak diiktiraf secara rasmi kerana ia tidak ditetapkan dalam pertandingan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Disember 2022 @ 1:41 PM