Eliud Kipchoge. FOTO Agensi
Eliud Kipchoge. FOTO Agensi
AFP

Nairobi: Juara dua kali maraton Olimpik dari Kenya, Eliud Kipchoge berkata dia memburu gelaran ketiga berturut-turut di Olimpik Paris 2024.

"Saya mempunyai impian untuk melakar kemenangan disebabkan itu saya tidak sabar untuk beraksi (di Paris)," kata Kipchoge pada sidang media secara maya dari padang latihan dekat Kenya.

Selain Kipchoge, hanya Abebe Bikila (1960, 1964) dan Waldemar Cierpinski (1976, 1980) memenangi dua kali gelaran juara maraton Olimpik berturut-turut.

Atlet berusia 37 tahun dari Kenya, yang memenangi gelaran berturut-turut di Olimpik Rio 2016 dan Tokyo 2020 menandatangani perjanjian penajaan bersama syarikat gergasi kimia dari Britain, Ineos sebagai persediaan untuk temasya sukan itu.

Dia melakar sejarah pada Oktober 2019 apabila menamatkan maraton dalam masa kurang dua jam dengan mencatat 1 jam 59 minit 40.2 saat (s) di Vienna namun tidak disahkan secara rasmi.

"Saya sangat teruja untuk mengatasi rekod dalam larian," kata Kipchoge dalam satu kenyataan.

Rekod dunia pelari Kenya itu, yang juga rekod rasmi maraton 2:01:39s. Dia akan berusia 40 tahun beberapa bulan sebelum bertanding di Paris pada Julai 2024.

Jika berjaya, Kipchoge juga menjadi juara maraton Olimpik tertua mengatasi atlet Romania, Constantina Dita yang memenangi acara maraton wanita di Beijing 2008 pada usia 38 tahun.

Kipchoge adalah sebahagian daripada atlet duta bagi temasya Paris 2024 dan pada Oktober dia memimpin lebih 3,600 pelari amatur dalam perlumbaan khas di ibu kota Perancis untuk meraikan 1,000 hari sebelum bermulanya sukan terbesar itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 January 2022 @ 10:23 AM