TONEY beraksi untuk England ketika menentang Ukraine pada  Mac lalu.
TONEY beraksi untuk England ketika menentang Ukraine pada Mac lalu.
AFP

London: Penyerang Brentford Ivan Toney berjanji kembali beraksi lebih cemerlang selepas digantung daripada semua aktiviti bola sepak selama lapan bulan selepas melanggar peraturan pertaruhan.

Toney yang didakwa oleh Persatuan Bolasepak pada November lalu susulan 262 kesalahan sepanjang tempoh empat tahun digantung berkuatkuasa serta merta oleh badan bola sepak Inggeris itu.

Pemain antarabangsa England berusia 27 tahun itu turut didenda £50,000 (RM282,402).

"Ivan Toney digantung daripada bola sepak dan aktiviti berkaitan dengannya berkuat kuasa untuk tempoh lapan bulan sehingga 16 Januari 2024 dan denda £50,000 (RM282,402) selepas melanggar peraturan pertaruhan Fifa," kata kenyataan FA awal pagi tadi.

"Penyerang Brentford FC didakwa di atas 262 pertuduhan yang menyalahi Peraturan FA E8 antara 25 Februari 2017 dan 23 Januari 2021. FA menarik balik 30 dakwaan dan dia akur baki 232.

Toney di Twitternya berkata dia sangat kecewa dengan penggantungan lapan perlawanan namun berterima kasih kepada keluarga, rakan, Brentford dan penyokong kelab ketika saat sukar baginya itu.

Katanya: "Saya kini fokus untuk kembali beraksi dengan sukan saya cintai musim depan."

Dia akan terlepas dua aksi Liga Perdana Brentford, menentang Tottenham Sabtu ini dan Manchester City pada perlawanan terakhir musim ini.

Toney yang memperoleh satu kap bersama England ketika menentang Ukraine pada Mac menjaringkan 21 gol dalam 35 penampilan untuk kelab barat London, Brentford musim ini.

Walaupun dia tersenarai dalam skuad England sebelum Piala Dunia tahun lalu, Toney disisihkan Gareth Southgate pada pemilihan terakhir sebelum kejohanan di Qatar.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Mei 2023 @ 12:03 PM