TONEY bebas daripada penggantungan lapan bulan kerana berjudi. FOTO REUTERS
TONEY bebas daripada penggantungan lapan bulan kerana berjudi. FOTO REUTERS
Reuters

London: Penyerang Brentford, Ivan Toney mengisytiharkan dirinya bebas daripada penggantungan lapan bulan kerana 232 dakwaan terbabit dalam perjudian, semalam, dan menimbulkan spekulasi apabila menyatakan mahu bermain dengan kelab atasan.

Pemain antarabangsa England berusia 27 tahun itu yang muncul penjaring terbanyak Brentford pada musim lalu dan memuat naik GIF di media sosial dengan satu perkataan saja iaitu 'bebas'.

Bercakap kepada televisyen Sky Sports, dia memberitahu mengenai cita-citanya.

"Anda tidak boleh menjangka masa sesuai untuk berpindah ke mana-mana, tetapi saya fikir sudah tentu mahu bermain dengan kelab atasan," kata pemain itu yang dikatakan menjadi sasaran Arsenal dan Chelsea.

"Semua orang mahu bermain dengan kelab utama iaitu berjuang merebut gelaran. Sama ada Januari ini masa tepat untuk kelab itu datang dan membayar harga sesuai, siapa tahu?", tambahnya.

Komennya itu berbeza dengan temu bual minggu lalu apabila dia berterima kasih kepada Brentford - kelab komuniti yang bersaing dengan kelab gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) - kerana sentiasa menyokongnya dan mengakui akan membalas jasa mereka dengan jaringan gol untuk keluar daripada pergelutan zon penyingkiran.

Kelab barat London itu kini di tangga ke-16 liga, tiga mata di atas zon penyingkiran dan memerlukan sengat di bahagian depan berikutan ketiadaan pemain akibat tugasan antarabangsa dan kecederaan.

Toney yang berharap disenaraikan dalam skuad England ke Euro 2024 berkata, tugasan utamanya adalah menyempurnakan tugasan di tengah padang dan 'biarkan latar belakang membuat kerjanya'.

"Untuk menjadi yang terbaik, anda perlu bermain dan bersaing dengan pemain terbaik," katanya yang dijangka beraksi apabila melayan kunjungan Nottingham Forest, Sabtu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 January 2024 @ 10:46 AM