TONEY hanya bantu siasatan berkenaan pertaruhan permainan. FOTO Agensi
TONEY hanya bantu siasatan berkenaan pertaruhan permainan. FOTO Agensi
Reuters

London: Penyerang Brentford, Ivan Toney berkata dia sedang membantu siasatan Persatuan Bolasepak England (FA) selepas laporan akhbar nasional mengatakan dia disiasat kerana dakwaan pertaruhan bola sepak.

Laporan dalam akhbar Daily Mail berkata Toney, yang tidak didakwa atas sebarang kesalahan, disiasat selama kira-kira tujuh bulan berhubung dakwaan aktiviti pertaruhan sebelum dia bermain untuk kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Brentford.

Akhbar itu menambah tiada sebarang tuduhan bahawa pemain berusia 26 tahun itu mempertaruhkan pasukannya sendiri untuk kalah dalam perlawanan.

"Saya sedar berita mengenai saya dalam akhbar nasional hari ini,"

"Saya membantu FA dengan siasatan mereka dan tidak akan membuat sebarang komen sehingga perkara ini mencapai kesimpulannya.

"Saya seorang rakyat England yang bangga dan sentiasa menjadi impian zaman kanak-kanak saya bermain untuk negara pada perlawanan di Piala Dunia," katanya yang berharap untuk menjadi sebahagian daripada skuad England kendalian Gareth Southgate ke Piala Dunia di Qatar.

"Kami sedar berita mengenai Ivan Toney dan siasatan FA. Kelab tidak akan mengulas," kata Brentford.

Brentford tidak dapat menurunkan penjaring terbanyak mereka itu ketika seri 2-2 awal pagi tadi dengan Nottingham Forest.

Toney menjalani penggantungan satu perlawanan selepas menerima lima kad kuning dan dia sudah menjaringkan lapan gol dalam 13 perlawanan liga musim ini, menerima panggilan pertama England bulan lalu tetapi masih belum membuat penampilan dengan pasukan kebangsaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 November 2022 @ 11:57 AM