JENSEN (kiri) meraikan jaringannya yang berjaya membantu Brentford meraih tiga mata. FOTO Reuters
JENSEN (kiri) meraikan jaringannya yang berjaya membantu Brentford meraih tiga mata. FOTO Reuters
Reuters

London: Brentford menyemarakkan impian mereka untuk beraksi di peringkat Eropah dengan mencatat kemenangan 3-2 di tempat sendiri ke atas Fulham bagi meneruskan rekod tanpa kalah Liga Perdana Inggeris (EPL) kepada 12 perlawanan.

Gol penalti Ivan Toney pada separuh masa kedua dan usaha di hujung saingan oleh Mathias Jensen mengesahkan mata maksimum buat Brentford yang menduduki tangga kesembilan sekali gus merapatkan mereka dengan kedudukan slot ke saingan Eropah.

Toney, yang menghadapi pertuduhan daripada Persatuan Bolasepak England (FA) dan kemungkinan berdepan penggantungan selepas dakwaan melanggar peraturan perjudian, tenang melepaskan rembatan melepasi penjaga gol Fulham, Bernd Leno pada minit ke-53 selepas kekasaran Issa Diop ke atas Christian Norgaard.

Jensen menampan masuk ketika di sudut sukar selepas Kevin Schade melakukan larian mantap dan membuat hantaran pada minit ke-85 bagi menamatkan rekod tanpa kalah empat perlawanan berturut-turut Fulham.

Brentford sebelum itu meledak gol awal hasil rembatan Ethan Pinnock namun Fulham berjaya menyamakan kedudukan sebelum tamat separuh masa pertama apabila Manor Solomon menjaringkan gol liga buat kali keempat berturut-turut.

Carlos Vinicius menjaringkan gol saguhati Fulham pada masa kecederaan tetapi pasukan Brentford bimbingan Thomas Frank kini tidak tewas dalam EPL sejak Oktober dan meraih 38 mata daripada 24 perlawanan, satu mata di belakang Fulham di tempat ketujuh dan empat mata di belakang pasukan di tempat kelima, Liverpool.

"Saya rasa ia bergantung kepada kami untuk mempunyai impian tetapi kami harus kekal fokus, berehat secukupnya esok dan berlatih dengan baik," kata Frank mengenai peluang pasukannya untuk beraksi di peringkat benua musim depan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mac 2023 @ 7:56 AM