LEE Mason. FOTO The Sun
LEE Mason. FOTO The Sun
Agensi

London: Pegawai video bantuan pengadil (VAR), Lee Mason meletakkan jawatan selepas mengendalikan perlawanan kontroversi membabitkan Arsenal dan Brentford hujung minggu lalu.

Kesilapan Mason itu menyaksikan Arsenal kehilangan dua mata penting.

Mason meletakkan jawatan dengan persetujuan bersama selepas Ketua Pegawai Perlawanan Permainan Profesional Limited (PGMOL) Howard Webb memohon maaf atas kesilapan Mason yang menyebabkan pengendali Gunner, Mikel Arteta berang.

The Gunners terikat 1-1 dalam perlawanan di Emirates Sabtu lalu walaupun gol penyamaan Ivan Toney sepatutnya tidak dibenarkan.

Toney menanduk masuk dari jarak dekat biarpun Christian Norgaard berada dalam keadaan ofsaid menghantar bola kepada penyerang Brentford itu.

"PGMOL mengesahkan bahawa Lee Mason meninggalkan organisasi dengan persetujuan bersama.

"Lee adalah pengadil Liga Perdana selama 15 tahun dan menyelia 287 perlawanan liga utama pada masa itu, dengan penampilan terakhirnya pada musim 2021-22.

"Dia mengendalikan lebih 500 perlawanan sepanjang kerjayanya dalam perlawanan profesional.

"Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Lee atas khidmatnya yang berdedikasi dan mendoakan yang terbaik untuknya untuk masa depan."

Ia bukan kesilapan berprofil tinggi pertama Mason pada musim ini apabila turut menafikan kemenangan Newcastle United menentang Crystal Palace pada September lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Februari 2023 @ 9:18 AM