PEMAIN Juventus, Dejan Kulusevski  dikasari pemain Milan di San Siro.
PEMAIN Juventus, Dejan Kulusevski dikasari pemain Milan di San Siro.
AFP

Milan: AC Milan seri tanpa jaringan menentang Juventus manakala Napoli melonjak ke tangga kedua selepas menewaskan Salernitana 4-1 dalam aksi Serie A awal pagi tadi.

Selepas hanya dua mata memisahkan mereka dengan musuh setempat Inter Milan minggu lalu, Milan kini ketinggalan empat mata di belakang juara bertahan itu dan jatuh ke tangga ketiga selepas dipintas Napoli yang turut meraih 49 mata.

Aksi hambar di San Siro jelas meresahkan pengendali Rossoneri, Stefano Pioli yang skuadnya tiada pilihan lain selain menang dalam aksi 'derby' Milan sejurus selepas tamat misi antarabangsa.

"Jika kami menang 'derby' kami akan terus bersaing sengit dengan Inter sehingga perlawanan terakhir," kata Pioli.

"Jika tidak, musim ini akan sama seperti tahun lalu ketika kami menduduki tangga kedua. Bertambah malang jika kami terlepas tiket Liga Juara-Juara musim ini."

Juve berpeluang layak ke Liga Juara-Juara selepas pasukan di tangga keempat Atalanta seri di Lazio kelmarin tetapi skuad Massimiliano Allegri gagal melakukan sebarang percubaan tepat dan kekal satu mata di belakang kelompok empat teratas.

Permukaan padang San Siro mengundang kritikan Simone Inzaghi selepas Inter menang ke atas Venezia kelmarin dan masalah sama turut disuarakan kedua-dua pasukan selepas tamat perlawanan.

"Kami berdepan masalah sama. Saya tak pasti dua perlawanan boleh diadakan di atas padang sama dalam tempoh dua hari pada pertengahan musim sejuk," kata Giorgio Chiellini yang tangkas mengawal bentengnya daripada ditembusi penyerang Milan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 January 2022 @ 9:54 AM