LUKAKU meledak jaringan pertama Inter di Stadium  Giuseppe Meazza, awal pagi tadi.  FOTO AFP
LUKAKU meledak jaringan pertama Inter di Stadium Giuseppe Meazza, awal pagi tadi. FOTO AFP
AFP

Milan: Romelu Lukaku menjaringkan gol selepas 33 saat dan membantu satu lagi jaringan ketika Inter Milan menewaskan Genoa 3-0 sekaligus memastikan gelaran liga dalam landasan tepat menjelang pertembungan getir dengan AC Milan yang menewaskan Roma 2-1.

Inter kekal empat mata di depan Milan di tangga kedua yang kembali meraih kemenangan di Rome selepas dua kekalahan berturut-turut.

Juara bertahan, Juventus ketinggalan enam mata selepas seri 1-1 di Hellas Verona semalam tetapi berkelebihan satu perlawanan dalam tangan.

Atalanta yang sama mata dengan Juventus merampas tangga keempat dengan dua mata mengatasi Roma yang jatuh ke tangga kelima selepas tewas kepada Milan.

Lukaku meledak menerusi peluang pertama di San Siro dan kemudiannya membantu Matteo Darmian untuk jaringan kedua Inter pada minit ke-69. Alexis Sanchez yang masuk sebagai pemain gantian menambah gol ketiga ketika berbaki 13 minit permainan.

"Kami pertama dalam carta dan ia perasaan sangat bagus,'' kata Lukaku ketika Inter dalam misi menafikan hasrat Juventus meraih gelaran liga ke-10 berturut-turut selepas kelabnya hanya menjadi naib juara musim lalu.

REBIC (kiri) diraikan rakan sepasukan selepas menjaringkan gol kedua Milan.
REBIC (kiri) diraikan rakan sepasukan selepas menjaringkan gol kedua Milan.

Skuad Antonio Conte meneruskan momentum selepas menang 3-0 dalam aksi 'derby' ke atas Milan minggu lalu untuk kemenangan kelima berturut-turut sekaligus mencerahkan peluang meraih gelaran liga kali pertama sejak 2010.

"Kami gembira kerana usaha gigih kami berhasil,'' kata Conte. "Kami tahu ada baki 14 perlawanan lagi. Kami akan teruskan perjuangan sehingga saat akhir jika mahu mencapat matlamat.''

Lukaku membuka tirai jaringan menerusi rembatan leret dari luar kotak penalti selepas mendapat hantaran Lautaro Martinez untuk gol ke-18nya musim ini, hanya satu di belakang penjaring terbanyak setakat ini, Cristiano Ronaldo.

Pemain berusia 27 tahun itu kini meledak enam gol dalam lima aksi terakhirnya.

Milan pula menang dalam aksi sengit menentang Roma di Stadio Olimpico ketika skuad Stefano Pioli mahu menamatkan kemarau gelaran liga sejak 2011.

Jaringan Franck Kessie meletakkan Milan di depan lima minit sebelum rehat selepas Federico Fazio mengasari Davide Calabria.

Jordan Veretout menyamakan kedudukan buat Roma lima minit selepas rehat tetapi pelawat memperoleh jaringan kemenangan lapan minit kemudian apabila Ante Rebic merembat kencang selepas memanfaatkan kesilapan pertahanan lawan.

Atalanta memastikan peluang ke Liga Juara-Juara kekal dalam jangkauan selepas menewaskan Sampdoria 2-0 manakala Napoli semakin menghampiri kelompok empat teratas selepas menewaskan Benevento 2-0 untuk membolehkan mereka ketinggalan satu mata di belakang Roma di tangga keenam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Mac 2021 @ 8:09 AM