GAYA  Giroud meraikan jaringannya ketika menentang Napoli.
GAYA Giroud meraikan jaringannya ketika menentang Napoli.
Reuters

Naples, Itali: AC Milan mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara kali pertama sejak mereka menjulang trofi 16 tahun lalu hasil jaringan Olivier Giroud pada babak pertama di Napoli yang berakhir 1-1 namun mara dengan agregat 2-1 awal pagi tadi.

Napoli mengasak sehingga wisel penamat tetapi gagal merobohkan benteng Milan sehinggalah tandukan penyerang Victor Osimhen menyamakan kedudukan pada masa kecederaan tetapi sudah terlewat untuk menyelamatkan pasukannya.

Juara Eropah tujuh kali Milan akan berdepan Inter Milan atau Benfica yang akan bertemu di San Siro awal pagi esok dengan kelab Itali itu berkelebihan 2-0 hasil kemenangan peringkat pertama.

Jurulatih Milan Stefano Pioli berkata dia teruja jika dapat menentang pencabar setempat itu pada separuh akhir.

"Boleh dijangka kerana Inter menang selesa aksi pertama. Pastinya saingan ini turut sukar tetapi ia pertembungan menarik di Liga Juara-Juara. Kami berjaya mara dan tidak mahu terhenti setakat ini," katanya Mediaset.

Perlawanan awal pagi tadi yang ketiga antara Milan dan Napoli dalam tempoh 16 hari dengan skuad Pioli menang 4-0 ke atas pendahulu Serie A itu pada 2 April.

Dalam aksi di Stadium Diego Maradona itu, Milan mempamerkan kekentalan pertahanan walaupun diasak hebat dan pemain mereka diejek penyokong tuan rumah setiap kali mendapat bola.

Bagaimanapun, Giroud menyepikan seketika suasana itu apabila menghukum kelonggaran pertahanan Napoli menerusi tolakan jarak dekat sejurus sebelum rehat.

Napoli berpeluang menyamakan kedudukan ketika permainan berbaki lapan minit selepas bola terkena tangan Fikayo Tomori tetapi sepakan penaltinya diselamatkan Mike Maignan.

Osimhen yang dikawal ketat sepanjang perlawanan akhirnya mendapatkan gol hasil tandukan tetapi sudah terlalu lewat buat Napoli yang mengecewakan penyokong mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 April 2023 @ 8:22 AM