Penyerang AC Milan, Zlatan Ibrahimovic meraikan jaringannya ketika berdepan Lazio dalam aksi Serie A di Stadium Giuseppe Meazza dekat Milan. FOTO EPA
Penyerang AC Milan, Zlatan Ibrahimovic meraikan jaringannya ketika berdepan Lazio dalam aksi Serie A di Stadium Giuseppe Meazza dekat Milan. FOTO EPA
AFP

Milan: Zlatan Ibrahimovic memastikan kepulangannya untuk beraksi selepas empat bulan dengan menjaringkan gol ketika AC Milan mencatat kemenangan 2-0 ke atas Lazio dalam saingan Serie A selepas juara bertahan, Inter Milan terikat 2-2 di Sampdoria.

Skuad kendalian Stefano Pioli memungut sembilan mata menyamai Napoli, yang menewaskan Juventus, Sabtu lalu, jaringan menerusi Rafael Leao sebelum waktu rehat dan tolakan mudah Ibrahimovic tujuh minit kemudian selepas melakukan kemunculan semula sebagai pemain gantian pada babak kedua.

Bintang Sweden itu yang akan memasuki usia 40 tahun dalam tempoh tiga minggu lagi melakukan jaringan dengan tenang berpunca hantaran Ante Rebic pada minit ke-67 untuk melupakan kecederaan lutut yang dialami musim lalu sekali gus memastikan pasukannya mendahului dua mata berbanding seteru utama, Inter dan Udinese yang menang 1-0 di Spezia semalam.

"Sudah empat bulan sejak kali terakhir dia beraksi, saya gembira dia bermula baik di sini," kata Pioli kepada DAZN.

"Dia mempunyai kesungguhan, saya percaya sebahagian daripada bukti pada bakatnya ada kesungguhan, semangat yang dimiliki melatih dirinya... apabila anda seperti itu anda tidak akan rasa seperti ia tempoh yang terlalu lama."

Milan adalah pasukan yang lebih baik pada malam gemilang di San Siro dan mungkin boleh mencatat kemenangan lebih selesa jika Franck Kessie dapat menyempurnakan penalti yang terkena palang gol pada penghujung babak pertama.

Mereka mendahului tiga mata berbanding Lazio, yang menduduki tangga keenam selepas mencatat kekalahan pertama di bawah kendalian jurulatih baharu Maurizio Sarri.

Anak buah Sarri sudah menjaringkan sembilan gol dalam dua perlawanan awal mereka berdepan Empoli dan Spezia, namun kehilangan taring di Milan, yang dilabelkan peminat sebagai aksi baik di gelanggang sendiri hanya selepas rehat antarabangsa.

Sementara itu, Milan akan beralih tumpuan mereka ke Anfield dan beraksi pada Khamis ini bagi pertarungan pembukaan Liga Juara-Juara berdepan Liverpool.

Apabila ditanya mengenai adakah skuad kendaliannya mempunyai impian besar di Eropah, Pioli berkata: "Kami seharusnya bermimpi pada sebelah malam, pada siang hari kami harus bekerja keras untuk mencapai impian itu."

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 September 2021 @ 8:38 AM